GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Tukang rumah warga Pakistan mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini, atas tuduhan mencuri motosikal majikannya kerana berang gajinya tidak dibayar pada Mei lalu.

Tertuduh, Umar Farook, 21, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Siti Khairiah Abdul Razak.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa dengan niat curang mencuri motosikal Honda FS 150 bernilai RM8,000 kepunyaan Mohd Zamri Sahari, 34, di tapak projek Jalan Bukit Duyong, dekat sini, pada 30 Mei lalu, kira-kira 5.30 petang.

Dia dituduh mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang setahun dan maksimum tujuh tahun dan denda.

Timbalan Pendakwa Raya Sherina Farhana Nor Sa'ari yang menjalankan pendakwaan tidak menawarkan sebarang jaminan memandang tertuduh adalah warga asing.

Siti Khairiah kemudian menetapkan kes disebut semula pada 29 Ogos depan bagi mendapatkan jurubahasa Pakistan dan fakta serta hukuman.

Terdahulu, ketika ditanya Siti Khairiah, tertuduh yang ditangkap di satu sekatan jalan di Bentong, Pahang pada 16 Julai lalu berkata, dia mencuri motosikal itu kerana gajinya untuk membuat rumah melebihi RM5,000 tidak dibayar.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Ogos 2022 @ 5:27 PM