ANWAR. FOTO Aizuddin Saad
ANWAR. FOTO Aizuddin Saad
BERNAMA

Kuala Lumpur: Kerajaan Persekutuan menambah baik pemberian dan sokongan kepada Kerajaan Negeri untuk tahun 2023, antaranya meningkatkan pemberian berdasarkan Tahap Pembangunan Ekonomi, Infrastruktur dan Kesejahteraan Hidup (Pemberian TAHAP) kepada RM400 juta.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu diputuskan pada Mesyuarat Majlis Kewangan Negara 2023 yang dipengerusikannya dan dihadiri oleh semua Menteri Besar dan Ketua Menteri atau wakil dari setiap negeri.

Anwar berkata, mesyuarat yang diadakan hari ini juga bersetuju dengan semakan semula dan penambahbaikan bagi petunjuk serta pengagihan Pemberian TAHAP.

"Keputusan ini menzahirkan komitmen serta kesungguhan Kerajaan Persekutuan dalam menyediakan peluang kepada kerajaan negeri untuk melaksanakan projek pembangunan mengikut keutamaan dan acuan negeri masing-masing dan seterusnya dapat memperkukuh lagi momentum pemulihan ekonomi ke arah pembangunan Malaysia MADANI," kata Anwar yang juga Menteri Kewangan dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Majlis Kewangan Negara turut bersetuju dengan kenaikan peruntukan pemberian Pemindahan Fiskal Ekologi (EFT) kepada RM150 juta berbanding RM70 juta pada tahun 2022 sebagai galakan khusus kepada negeri-negeri yang mewartakan kawasan perlindungan baharu.

Bagi tujuan penambahbaikan ke atas pinjaman Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Negeri, Kementerian Kewangan bersetuju mempertimbangkan dan meminda kaedah pengeluaran kepada secara bayaran kemajuan kerja membabitkan pinjaman baharu bagi projek-projek pembangunan di bawah Rolling Plan Rancangan Malaysia.

Perdana Menteri berkata, pendekatan ini dapat menyegerakan proses penyaluran peruntukan yang disediakan secara pinjaman, membantu kerajaan negeri yang mempunyai masalah aliran tunai dan bergantung kepada peruntukan pinjaman bagi melaksanakan projek pembangunan serta akan melancarkan pelaksanaan projek-projek pembangunan.

Menurutnya, Kerajaan Persekutuan turut bersetuju agar pakej insentif cukai bagi pelaburan ke negeri dilanjutkan bagi tempoh peralihan dua tahun sehingga 31 Disember 2024 membabitkan negeri seperti Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor dan Sabah untuk mengimbangi pembangunan di seluruh negara melalui aktiviti pelaburan yang dilaksanakan oleh pihak swasta.

"Ini juga sebagai satu langkah interim ke arah pemakaian struktur insentif baharu yang lebih menyeluruh," kata Anwar.

Selain itu, Kerajaan Persekutuan juga akan menambah baik penggunaan peruntukan di bawah Pemberian Penyelenggaraan Jalan Negeri bagi menyelenggara jalan dan kerja-kerja lain yang berkaitan di kawasan perumahan berpagar dan mempunyai kawalan keselamatan serta penggantian papan tanda nama jalan dan lorong bagi jalan.

"Antaranya membabitkan Jalan Kampung, Jalan Taman dan papan-papan tanda jalan lain selain daripada penunjuk arah," kata Anwar.

Beliau menambah kerajaan negeri turut disaran memberi keutamaan kerja-kerja penyelenggaraan jalan di negeri masing-masing kepada kontraktor Kelas G1 hingga G4 dan tidak hanya tertumpu kepada beberapa syarikat konsesi besar saja.

"Langkah ini bertujuan membantu kitaran ekonomi kontraktor-kontraktor kecil dengan lebih adil dan secara tidak langsung dapat merangsang pertumbuhan ekonomi negara lebih tuntas," jelas beliau.

Kementerian Kewangan akan turut menambah peruntukan sebanyak RM250 juta lagi bagi penyelenggaraan berkala turapan (pavement) Jalan Persekutuan, tambahnya.

"Ini terutamanya untuk menangani masalah jalan raya berlubang yang menjadi antara penyumbang kepada kemalangan. Peruntukan tambahan ini juga akan dikhususkan untuk manfaat kontraktor-kontraktor kecil Bumiputera," kata Anwar.

Katanya, penambahan ini menjadikan peruntukan keseluruhan penyelenggaraan berkala turapan Jalan Persekutuan meningkat kepada RM1 bilion berbanding RM750 juta yang diumumkan dalam Belanjawan 2023.

Anwar berkata, Kerajaan Persekutuan sentiasa komited dalam memastikan hubungan dengan kerajaan negeri berada pada tahap yang terbaik dan hasrat ini dimanifestasikan melalui peningkatan peruntukan yang disalurkan dalam pelbagai bentuk pemberian kepada kerajaan negeri setiap tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 April 2023 @ 4:00 PM