ANWAR Ibrahim. FOTO Arkib BERNAMA
ANWAR Ibrahim. FOTO Arkib BERNAMA

Kuala Lumpur: Majlis Kewangan Negara bersetuju dengan keputusan Kerajaan Persekutuan untuk menambah baik pemberian kepada Kerajaan Negeri berjumlah RM8.9 bilion tahun ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Kerajaan Persekutuan komited untuk bekerjasama dengan semua Kerajaan Negeri dalam usaha memajukan pembangunan negara secara terangkum.

"Berlandaskan prinsip manusiawi dan 'rahmatan lil alamin' yang membentuk kerangka Ekonomi MADANI, penambahbaikan pemberian kepada Kerajaan Negeri dapat memberi manfaat langsung kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira etnik, agama atau geografi," katanya dalam kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kewangan Negara Tahun 2024 yang dihadiri oleh Menteri-menteri Besar dan Ketua-ketua Menteri, hari ini.

Perdana Menteri berkata, peningkatan pemberian membabitkan semua negeri di Malaysia dan akan diberikan secara serentak.

"Besarlah harapan saya agar pemberian ini dapat digunakan sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri untuk menjamin kemaslahatan rakyat serta merancakkan pembangunan negeri dengan lebih mampan," katanya.

Antara persetujuan yang dicapai pada Mesyuarat Majlis Kewangan Negara kali ini adalah menyediakan peruntukan pemberian Kerajaan Persekutuan kepada negeri-negeri sekitar RM8.9 bilion berbanding RM8.3 bilion pada tahun 2023 dan RM8.1 bilion tahun 2022.

Bagi Perbelanjaan Pembangunan pula, sebanyak RM39.4 bilion disediakan bagi tahun 2024 untuk melaksanakan projek-projek pembangunan negeri berbanding RM36.7 bilion pada tahun 2023 dan RM28.8 bilion tahun 2022.

Selain itu, kelulusan permohonan Kerajaan Negeri telah diberikan berhubung kesiapsagaan menghadapi sebarang kecemasan atau bencana alam seperti musibah banjir dan tanah runtuh yang boleh menyebabkan kerosakan jalan serta jambatan.

"Ia antara lain membabitkan pembelian Jambatan Sementara Bailey ('Bailey Bridge') menggunakan peruntukan Pemberian Penyenggaraan Jalan Negeri secara sekali beri ('one-off') bagi tahun 2024.

"Selain itu, ia turut membabitkan kenaikan had untuk membiayai perbelanjaan pengurusan berkaitan penyenggaraan jalan negeri sebanyak 10 peratus atau RM10 juta, mengikut yang lebih rendah," katanya.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, Kerajaan MADANI terus bertekad memastikan hubungan antara Kerajaan Persekutuan dengan semua Kerajaan Negeri kekal utuh demi kebaikan rakyat Malaysia.

"Hasrat ini dizahirkan melalui peningkatan Pemberian Kerajaan Persekutuan serta peruntukan Perbelanjaan Pembangunan di semua negeri untuk tahun 2023 dan 2024," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 April 2024 @ 2:25 PM