BERNAMA

Gerik: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM30 juta bagi menaik taraf Jalan Raya Timur-Barat yang menghubungkan Gerik-Jeli.

Beliau berkata peruntukan itu adalah tambahan peruntukan penyelenggaraan jalan berkenaan yang kosnya dianggarkan sebanyak RM80 juta sehingga RM100 juta.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, terdapat banyak permohonan peruntukan bagi penyelenggaraan jalan di seluruh negara dan beliau akan mengkajinya dalam Belanjawan Madani kedua yang akan dibentangkan pada Oktober.

"Tapi hari ini saya boleh lulus tambahan RM30 juta untuk perbaiki jalan," kata beliau dalam ucapan ketika melancarkan Kempen MyJalan Kementerian Kerja Raya (KKR) di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad.

Sebelum ini Nanta mengumumkan RM30 juta peruntukan awal daripada KKR bagi menaik taraf dan menyelenggara laluan itu.

Sementara itu, Anwar berkata kerajaan sudah meluluskan peruntukan tambahan penyelenggaraan jalan persekutuan di seluruh Malaysia berjumlah RM370 juta pada tahun ini.

Beliau berkata RM300 juta adalah bagi penyelenggaraan jalan persekutuan yang tiada dalam syarat kontrak syarikat konsesi.

"RM20 juta peruntukan khas untuk jurutera daerah dan RM50 juta (bagi) pemasangan dan penyelenggaraan lampu di kawasan risiko tinggi kemalangan," kata beliau.

Perdana Menteri berkata kerajaan turut meluluskan RM250 juta bagi peruntukan kerja-kerja penyelenggaraan melibatkan kontraktor kecil Bumiputera.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Ogos 2023 @ 2:26 PM