Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Ada dalam kalangan penumpang bas ekspres membeli dua tiket berlainan tarikh kerana bimbang sambutan Aidilfitri mengejut seperti tahun lalu.

Tinjauan di Hentian Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) mendapati, suasana masih lengang dan ada kira-kira 50 orang yang ke kaunter jualan tiket untuk membeli tiket.

Penumpang, Muhammad Nor Firdaus, 37, mengakui membeli dua tiket berlainan tarikh iaitu untuk perjalanan pada Khamis dan Jumaat.

Katanya, walaupun mengeluarkan perbelanjaan kira-kira RM90 untuk membeli dua tiket, tetapi katanya, paling utama ialah dapat menyambut Aidilfitri bersama keluarga pada raya pertama.

"Jika Aidilfitri jatuh pada Jumaat, saya dapat menyambut raya pertama bersama keluarga," katanya.

Sementara itu, Pengurus Kaunter Sistem Tiket Berpusat (CTS) Muhammad Zamzam Musa berkata, pembelian dua tiket berlainan tarikh tidak dapat dielakkan berikutan penumpang membuat persiapan awal, berikutan ada dakwaan sambutan Aidilfitri mengejut tahun ini.

Berdasarkan pengalaman raya mengejut tahun lalu, katanya, kaunter jualan tiket diserbu penumpang untuk menukar tarikh perjalanan.

"Setakat ini, kita dapat membuat pengesahan secara rasmi, tetapi tidak menolak kemungkinan ada penumpang membeli dua tiket berlainan tarikh susulan dakwaan Aidilfitri tahun ini disambut pada Jumaat.

"Mungkin ada penumpang membeli dua tiket perjalanan berlainan tarikh iaitu pada Khamis dan Jumaat selepas tular tarikh sambutan Aidilfitri tahun ini juga mengejut," katanya.

Berkaitan tiket, Muhammad Zamzam berkata, tiket untuk perjalanan dari Kuala Terengganu ke Terminal Bersepadu Selatan (TBS) bermula Selasa hingga Jumaat minggu depan masih berbaki 3,203 keping.

Bagaimanapun, katanya, tiket untuk perjalanan ke Alor Setar, Kedah sudah habis dijual sejak bermulanya Ramadan.

"Tiket untuk perjalanan ke Kota Bharu dalam tempoh itu masih berbaki sebanyak 45 keping, manakala ke Larkin, Johor masih berbaki 450 keping," katanya.

Dalam perkembangan lain, Agensi Pengangkutan Awam Darat (Apad) Wilayah Timur memaklumkan sudah meluluskan permohonan Lesen Perubahan Sementara (LPS) sempena musim perayaan kepada 13 syarikat bas ekspres.

Pengarah Apad Wilayah Timur Mohammad Fakhri Mansor berkata, syarikat bas ekspres yang bercadang untuk menyediakan perkhidmatan bas tambahan musim perayaan boleh mengemukakan permohonan bermula hari ini hingga Jumaat ini.

gambar:

1- KUALA TERENGGANU, 12 MAC 2023, Suasana lengang di kaunter jualan tiket di Hentian Bas MBKT. Foto/Baharom Bakar (tinjauan).

2. KUALA TERENGGANU, 12 MAC 2023, Suasana masih lengang di Hentian Bas MBKT. Foto/Baharom Bakar (tinjauan).

3. KUALA TERENGGANU, 12 MAC 2023, Muhammad Zamzam Musa, Pengurus Kaunter Sistem Tiket Berpusat (CTS). Foto/Baharom Bakar (tinjauan)

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 April 2023 @ 3:03 PM