GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Maju Tmas Sdn Bhd menjangkakan 50 peratus pertambahan jumlah penumpang menggunakan perkhidmatan bas menerusi Terminal Bersepadu Selatan (TBS) sepanjang minggu pertama April ini.

Pengarah Urusan Maju Tmas Sdn Bhd, Datuk Roslan Shariff berkata, pihaknya bersiap sedia termasuk menempatkan petugas bagi memantau keadaan dan memastikan kelancaran ketika orang ramai berurusan di TBS untuk pulang ke kampung bagi menyambut awal Ramadan.

"Kita menjangkakan kira-kira 70,000 pertambahan penumpang pada minggu pertama puasa.

"Justeru kita anggarkan lebih 8,400 penumpang akan menggunakan bas di TBS berbanding purata 5,600 penumpang sehari yang membabitkan purata 590 trip pelepasan setiap hari pada masa ini," katanya kepada Harian Metro.

Sempena Aidifitri, Roslan berkata, pihaknya menawarkan hampir 200,000 tiket untuk mereka yang akan melakukan perjalanan pada minggu perayaan berkenaan.

"Syarikat bas menyediakan trip harian seawal 60 hari secara automatik.

"Ini tidak termasuk bas tambahan menggunakan Lesen Perubahan Sementara (LPS) kebiasaannya akan di tambah pada 10 hingga 14 hari sebelum menjelang syawal.

"Penumpang digalakkan merancang perjalanan dan membeli tiket awal bagi mengelak sebarang masalah," katanya.

Katanya, walaupun kaunter tiket dibuka 24 jam sehari, pihaknya menggalakkan penumpang membeli tiket secara dalam talian di http://tbsbts.com.my.

"Penumpang boleh mula membeli tiket untuk raya kerana kita sudah membuka penjualan tiket pada masa ini.

"Untuk memudahkan dan kelancaran kita turut menyediakan pembelian melalui penggunaan kod QR sebagai tiket elektronik bagi mengurangkan penggunaan kertas.

"Selain itu, sebanyak 12 mesin tiket layan diri turut disediakan di aras tiga dan empat di TBS.

"Kita juga mengingatkan penumpang supaya menyemak tarikh dan masa yang dicetak sebelum meninggalkan kaunter tiket TBS bagi mengelakkan ketinggalan bas atau sebarang masalah," katanya.

Mengenai prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelak risiko penularan Covid-19 susulan pertambahan penumpang di TBS pada Ramadan dan Aidilfitri beliau berkata, pihaknya mematuhi semua garis panduan ditetapkan Majlis Keselamatam Negara (MKN).

"Untuk makluman seperti ditetapkan MKN, tiada lagi penjarakan fizikal dalam bas, namun penumpamg tetap diwajibkan memakai pelitup muka.

"Kita turut menyediakan 38 kaunter pensanitasi bagi menggalakkan dan memudahkan orang ramai kerap mencuci tangan menggunakan cecair pembasmi kuman.

"Pada masa sama, kita turut memastikan supaya penumpang dan orang ramai sentiasa mengamalkan penjarakan fizikal ketika berada dalam bangunan TBS," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Mac 2022 @ 12:43 PM