Pengguna membeli tiket bas untuk pulang ke kampung halaman masing-masing di TBS sebagai persiapan akhir sempena Aidilfitri. FOTO AIZUDDIN SAAD
Pengguna membeli tiket bas untuk pulang ke kampung halaman masing-masing di TBS sebagai persiapan akhir sempena Aidilfitri. FOTO AIZUDDIN SAAD
Anis Syuhada Mohd Rosli dan Natrah Laili Abdul Aziz


Kuala Lumpur: Tiket bas ekspres untuk pulang ke kampung halaman dari Lembah Klang ke kebanyakan destinasi sempena Aidilfitri pada 29 dan 30 April sudah habis terjual.

Selepas dua tahun tidak dapat pulang beraya di kampung halaman akibat Covid-19, ternyata ramai pengguna memilih menggunakan perkhidmatan awam berkenaan tahun ini hinggakan jualan tiket bas kini diibaratkan seperti pisang goreng panas.

Malah, ketika tinjauan dilakukan wartawan Harian Metro di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) di sini mendapati, rata-rata penumpang terpaksa menukar tarikh pulang ke kampung masing-masing kerana tiket bas pada 29 dan 30 April 'laku keras' dan habis terjual.

Pekerja telekomunikasi, Hafizah Rosli, 24, berkata dia tidak dapat membuat pembelian tiket secara dalam talian kerana tiket untuk pulang ke Kuantan sudah habis dijual.

"Saya datang ke TBS dengan harapan ada lagi tiket bas tambahan yang boleh dibeli. Namun apabila tiba di kaunter, (penjual memaklumkan) tiket tidak lagi dijual untuk 29 April ini.

"Saya bercadang balik pada Jumaat malam, tapi disebabkan tiket habis, saya terpaksa mencari tarikh lain untuk pulang ke kampung," katanya ketika ditemui Harian Metro.

Bagi penuntut universiti awam, Natasha Ezuan, 21, berkata dia terpaksa pulang ke Kuala Terengganu hari ini kerana tiket pada 29 dan 30 April sudah tidak ditawarkan lagi.

"Dua minggu sebelum raya, saya melihat tiket bas ke Kuala Terengganu pada 29 dan 30 April masih dijual. Tapi bila saya tengok dalam aplikasi bas hari ini, tiket pada tarikh berkenaan habis dijual.

"Sepatutnya saya ada tugasan universiti untuk dihantar sebelum raya, jadi saya terus menukar rancangan untuk pulang hari ini supaya sempat balik ke kampung," katanya.

Bagaimanapun, penjual kereta di syarikat swasta, Haikal Tahir, 26, berkata, dia bernasib baik dapat membeli tiket pada saat akhir dan dijadualkan pulang ke kampung halamannya di Bachok, Jumaat ini.

"Saya bersyukur dapat pulang ke kampung untuk menyambut Aidilfitri tahun ini walaupun hanya diberikan cuti selama enam hari selepas dua tahun tidak balik.

"Selalunya saya pulang ke kampung menaiki kereta persendirian, tapi saya tidak sanggup untuk meredah kesesakan di jalan raya terutamanya laluan ke pantai timur," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 April 2022 @ 6:06 PM