ELIAS Omar. FOTO Arkib NSTP
ELIAS Omar. FOTO Arkib NSTP
Zuliaty Zulkiffli

Alor Setar: Waspada dengan panggilan individu memperkenalkan diri sebagai 'Datuk Asisten Komisioner (ACP) Nafi' dan 'ACP Mohamad' kerana ia dipercayai taktik sindiket Macau Scam untuk memperdaya mangsa dengan menyamar sebagai pegawai kanan polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Kedah Superintendan Elias Omar berkata, nama Datuk ACP Nafi dikesan mula memperdaya mangsa pada bulan lalu apabila seorang wanita di negeri ini kerugian lebih RM120,000.

"Jumlah kerugian itu adalah yang tertinggi dilaporkan di Kedah pada tahun ini dan saya berharap orang ramai lebih berwaspada dengan taktik licik sindiket Macau Scam ini.

"Manakala, nama ACP Mohamad pula dilaporkan aktif sejak tahun lalu, manakala Sarjan Chong pada tahun sebelumnya dan mereka menggunakan taktik sama untuk memperdaya mangsa kononnya terbabit dalam pengubahan wang haram, dadah atau tunggakan cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, di sini, hari ini.

Menurut Elias, sindiket itu sebelum ini menyasarkan golongan warga emas terdiri pesara kerajaan selain penjawat awam, namun kini mengubah taktik tanpa mengira usia.

"Kebanyakan mangsa cepat panik apabila menerima panggilan kononnya mereka mempunyai tunggakan cukai, terbabit dengan jenayah dadah dan sebagainya menyebabkan mereka memindahkan wang seperti yang diarahkan suspek.

"Justeru, saya menasihatkan orang ramai supaya membuat semakan dengan agensi berkaitan terlebih dahulu atau pihak bank serta balai polis sebelum menyerahkan wang kepada sindiket berkenaan," katanya.

Katanya, pihaknya sudah menahan 41 individu yang juga pemilik akaun dalam Op Mule Siri 1/2021 bermula pada 1 Januari sehingga kelmarin dipercayai terbabit dengan penipuan Macau Scam ini.

"Daripada jumlah itu, 30 daripadanya sudah dituduh di mahkamah," katanya.

Orang ramai dinasihatkan menyemak kesahihan maklumat yang diterima terlebih dahulu melalui http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ atau http://www.facebook.com.my/CyberCrimeAlertRMP.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Februari 2021 @ 5:39 PM