Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Polis Pulau Pinang membuka 107 kertas siasatan berhubung sindiket penipuan tawaran kerja platform e-dagang dengan nilai kerugian berjumlah RM1.2 juta setakat Ogos ini.

Berdasarkan statistik Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Pulau Pinang sejak awal Januari hingga 14 Ogos lalu, mangsa terdiri daripada 66 wanita dan 41 lelaki.

Ketua JSJK Pulau Pinang, Asisten Komisioner Mohd Rosni Mohd Lazim berkata, kebanyakan mangsa yang diperdaya berusia antara 14 hingga 54 tahun.

Katanya, golongan pelajar sekolah adalah paling ramai ditipu iaitu seramai 35 orang diikuti dengan pekerja swasta (30) dan penganggur (21).

"Tahap kecurigaan rendah dalam kalangan rakyat Pulau Pinang menyebabkan kes penipuan tawaran kerja platform e-dagang naik sejak kebelakangan ini.

"Ada mangsa yang rugi sehingga puluh ribu ringgit dan jumlah kerugian membabitkan keseluruhan mangsa adalah sebanyak RM1.2 juta," katanya kepada media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Mohd Rosni berkata, sindiket terbabit mengiklankan tawaran kerja melalui aplikasi WhatsApp, Facebook dan Instagram sebelum mangsa yang berminat dengan tawaran kerja berkenaan diarahkan oleh sindiket membeli barangan di platform e-dagang kononnya bagi menaikkan rating produk itu.

Katanya, mangsa dijanjikan komisyen antara lapan hingga 15 peratus bagi setiap pembelian dan keuntungan itu akan dibayar dalam tempoh 10 minit selepas pembelian berkenaan.

"Bagi meyakinkan mangsa, pulangan komisen produk murah akan diperoleh, namun apabila diarahkan beli produk ribuan ringgit sindiket akan menghilangkan diri sekali gus gagal dikesan.

"Hasil semakan polis mendapati kesemua akaun bank yang digunakan sindiket menggunakan keldai akaun dan ada antara mereka sudah ditangkap," katanya.

Sehubungan itu, polis menasihati orang ramai supaya berhati-hati dan mengambil langkah pencegahan dengan tidak mendedahkan identiti diri kepada individu yang baru dikenali, memeriksa latar belakang syarikat yang menawarkan pekerjaan serta membuat semakan akaun bank sebelum melakukan transaksi.

Semakan nombor akaun yang diberikan boleh dibuat menerusi https://ccid.rmp.gov.my/semakmule bagi mengelakkan menjadi mangsa sindiket penipuan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Ogos 2021 @ 1:54 PM
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, ACP Mohd Rosni Mohd Lazim menunjukkan carta kes penipuan tawaran kerja melalui platform beli belah atas talian dari 1 Januari sehingga Ogos 2021 ketika sidang media di pejabatnya di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sini. FOTO MIKAIL ONG
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, ACP Mohd Rosni Mohd Lazim menunjukkan carta kes penipuan tawaran kerja melalui platform beli belah atas talian dari 1 Januari sehingga Ogos 2021 ketika sidang media di pejabatnya di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sini. FOTO MIKAIL ONG