GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Banduan yang sedang menjalani hukuman penjara kerana memiliki wang palsu dijatuhi hukuman penjara 15 bulan di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, di sini, hari ini, kerana memiliki mesin pencetak bagi mencetak wang palsu.

Keputusan itu dibuat Hakim Nooriah Osman selepas tertuduh, Abdul Hanif Abdullah, 30, mengaku salah terhadap pertuduhan berkenaan.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memiliki satu unit mesin pencetak untuk digunakan bagi pemalsuan atau pelancungan suatu mata wang kertas.

Dia mengaku melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Kuala Berang, Hulu Terengganu, jam 10 malam pada 7 Disember 2021.

Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 489D Kanun Keseksaan.

Mahkamah mengarahkan hukuman penjara bermula daripada tarikh sabitan iaitu hari ini.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Hanis Nabihah Hizamul-Din manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Ketika ini, tertuduh yang berdepan tiga pertuduhan mengikut Seksyen 489 B Kanun Keseksaan sedang menjalani hukuman di Penjara Bentong, Pahang kerana memiliki wang palsu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 April 2023 @ 4:09 PM