Faizul Azlan Razak


Kuala Terengganu: Dua penganggur yang dipercayai terbabit dalam kegiatan mencetak wang palsu bernilai RM100 dicekup di sebuah pangsapuri di bandar raya ini.

Suspek yang masing-masing berusia 28 dan 33 tahun ditahan sepasukan anggota dan pegawai polis di rumah sewa kira-kira jam 4 pagi, kelmarin.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan berkata, dalam serbuan itu menemui dan merampas 27 keping wang kertas bernilai RM100 pelbagai siri disyaki palsu.

"Turut dirampas dalam serbuan itu adalah dua telefon bimbit, komputer riba dan mesin pencetak, kereta Proton Saga dan peralatan membuat wang palsu.

"Kita dapati mereka belajar membuat duit palsu ini menerusi Youtube dan modus operandi dua suspek ini dengan menjalankan kegiatan mencetak serta menggunakan wang tunai RM100 palsu ini untuk kegunaan harian mereka.

"Malah, kita juga mendapati suspek dipercayai aktif menggunakan wang palsu ini di kedai daerah Dungun bagi mendapatkan tukaran wang tulen. Suspek menggunakan duit palsu untuk membeli rokok serta dadah di pasaran gelap bagi mengaburi mata peniaga," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata, hasil ujian air kencing terhadap dua suspek masing-masing berasal dari Selangor dan Terengganu juga positif dadah jenis methamphetamine.

"Kedua-dua suspek direman empat hari oleh Mahkamah Dungun bermula 29 Oktober sehingga 1 November ini.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 489B Kanun Keseksaan (KK) kerana menggunakan wang sebagai tulen dan Seksyen 489D kerana memiliki peralatan membuat wang palsu yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan denda.

"Dua suspek terbabit turut disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan denda tidak lebih RM5,000 dan penjara tidak melebihi dua tahun," katanya.

Sementara itu, Mazli menasihatkan orang ramai sentiasa peka serta memeriksa wang kertas diterima dan segera membuat laporan polis jika ada keraguan ke atas wang terbabit.

"Malah, mengikut rekod sepanjang tahun 2022 menerima 38 laporan membabitkan kes wang palsu manakala 31 laporan setakat tahun ini.

"Kejayaan penahanan terhadap dua suspek ini juga sekaligus membantu polis Terengganu menyelesaikan kes wang palsu yang berlaku sebelum ini di negeri ini," katanya.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan (dua kanan) bersama pegawai memeriksa  wang palsu yang dicetak bernilai RM100 selepas sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu (IPK). FOTO GHAZALI KORI
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan (dua kanan) bersama pegawai memeriksa wang palsu yang dicetak bernilai RM100 selepas sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu (IPK). FOTO GHAZALI KORI

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Oktober 2023 @ 10:24 AM