RUSLIN melihat beberapa pasport milik warga asing yang ditahan dalam satu operasi sindiket perjudian membabitkan warga asing ketika sidang media di Jabatan Imigresen Malaysia, Putrajaya. FOTO Aizuddin Saad.
RUSLIN melihat beberapa pasport milik warga asing yang ditahan dalam satu operasi sindiket perjudian membabitkan warga asing ketika sidang media di Jabatan Imigresen Malaysia, Putrajaya. FOTO Aizuddin Saad.
Nurul Hidayah Bahaudin


Putrajaya: Berselindung di sebalik perniagaan pusat snuker, satu sindiket didalangi warga asing yang menjalankan aktiviti judi dalam talian yang meraih keuntungan sehingga RM1.5 juta setahun aktif melakukan kegiatan itu kira-kira dua tahun lalu.

Bagaimanapun, kegiatan itu terbongkar selepas dua serbuan dilakukan sepasukan pegawai daripada Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di sekitar Lembah Klang pada kelmarin hingga semalam.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Ruslin Jusoh berkata, seramai 15 individu warga asing termasuk tiga wanita dan seorang lelaki tempatan ditahan dalam serbuan hasil risikan selama sebulan.

"Dalam serbuan pertama jam 10 malam, kelmarin, kami menyerbu sebuah premis berselindung di sebalik perniagaan snuker yang memiliki bilik rahsia diubah suai di sekitar Lembah Klang bagi mengaburi pihak penguat kuasa.

"Dalam serbuan ini, kami menahan tiga lelaki warga Indonesia, seorang lelaki warga Bangladesh dan dua wanita warga Indonesia berusia 25 hingga 40 tahun yang tidak memiliki pas bekerja sah sebagai operator mesin.

"Turut ditahan seorang lelaki warga tempatan berusia 40 tahun yang dipercayai bekerja sebagai penyelia dan penjaga di premis berkenaan," katanya pada sidang media di Bahagian Perisikan dan Operasi Khas JIM, di sini, hari ini.

BARANGAN terdiri dari pasport, wang dan komputer riba yang dirampas. FOTO Aizuddin Saad.
BARANGAN terdiri dari pasport, wang dan komputer riba yang dirampas. FOTO Aizuddin Saad.

Ruslin berkata, pihaknya menjalankan serbuan kedua jam 10.30 malam tadi di tiga lokasi sekitar Kuala Lumpur yang membawa kepada penahanan dalang utama sindiket itu iaitu seorang lelaki warga Bangladesh.

"Lelaki berusia 40 tahun itu yang memiliki pas lawatan sosial itu adalah suami wanita tempatan yang turut memiliki syarikat perkhidmatan mencuci yang beroperasi hampir dua tahun.

"Turut ditahan dalam serbuan kedua itu adalah enam lelaki warga Bangladesh, seorang lelaki warga Nepal dan seorang wanita warga Indonesia berusia antara 25 hingga 40 tahun yang bekerja sebagai operator judi di premis berkenaan.

RUSLIN melihat beberapa barangan rampasan. FOTO Aizuddin Saad.
RUSLIN melihat beberapa barangan rampasan. FOTO Aizuddin Saad.

"Secara keseluruhannya, kami merampas 20 set komputer, 26 komputer riba, 32 pasport Bangladesh, dua pasport Pakistan, masing-masing satu pasport Indonesia, Myanmar dan India serta wang tunai berjumlah RM114,450 dipercayai hasil aktiviti perjudian," katanya.

Beliau berkata, modus operandi sindiket itu adalah menetapkan setiap pelanggan yang mahu memasuki bilik rahsia diubah suai berkenaan mesti mempunyai kod rahsia ditetapkan oleh sindiket.

"Berdasarkan jumlah wang tunai yang dirampas, kami percaya sindiket itu mampu meraih keuntungan sekitar RM1.3 hingga RM1.5 juta setahun.

"Semakan dilakukan mendapati pasport semua warga asing yang ditahan sudah tamat tempoh dan mereka akan ditahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

"Lelaki tempatan yang ditahan pula direman selama tiga hari di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah untuk siasatan lanjut," katanya.

Katanya, pihaknya akan meneruskan operasi di seluruh negara bagi mengesan saki baki sindiket berkenaan berdasarkan penemuan pasport individu warga asing dalam serbuan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mac 2023 @ 6:29 PM