Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Mengaut jutaan ringgit dengan menawarkan khidmat memperbaharui Permit Lawatan Kerja Sementara (PLKS) dan pendaftaran Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) warga asing.

Itu modus operandi seorang wanita tempatan yang dipercayai menjalankan kegiatan seolah-olah menjadi 'ejen' imigresen sejak setahun lalu sedangkan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) tidak pernah melantik mana-mana pihak untuk urusan berkenaan.

Kegiatan wanita berusia 48 tahun itu terbongkar dalam serbuan berasingan oleh sepasukan pegawai JIM Kuala Lumpur (JIMWPKL) di sebuah kondominium di Taman Melati Utama dan pejabatnya di Taman Sri Rampai, di sini, semalam.

Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Syamsul Badrin Mohshin berkata serbuan menerusi Ops Serkap itu hasil risikan Unit Risikan Operasi ATIPSOM Bahagian Penguat kuasa JIMWPKL selama sebulan.

"Suspek yang disyaki mempunyai syarikat pembinaan disyaki bertindak sebagai ejen yang menjalankan khidmat memperbaharui PLKS dengan harga RM8,300 sekeping.

"Dia turut menawarkan pendatang asing tanpa izin (Pati) Bangladesh untuk mendaftarkan slip rekalibrasi dengan harga RM2,000.

"Hasil serbuan pertama yang dilakukan kira-kira 11 pagi di unit kediaman kondominium menemukan 314 pasport Bangladesh, masing-masing seunit laptop, komputer dan mesin pencetak, 17 keping kad Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB), tujuh telefon pintar pelbagai jenama, tujuh kad bank dan turut dirampas wang tunai berjumlah RM61,550.

"Suspek turut ditahan di rumah itu," katanya dalam sidang media di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN), di sini, hari ini.

 SYAMSUL Badrin (tengah) menunjukkan barang rampasan seperti pasport, wang tunai dan peralatan komputer. FOTO Genes Gulitah.
SYAMSUL Badrin (tengah) menunjukkan barang rampasan seperti pasport, wang tunai dan peralatan komputer. FOTO Genes Gulitah.

Syamsul Badrin berkata, penahanan itu membawa kepada serbuan kedua jam 12.20 tengah hari di sebuah premis pejabat di Taman Sri Rampai.

Katanya, dalam serbuan itu, imigresen merampas 53 pasport Bangladesh, masing-masing seunit komputer dan mesin pencetak; 198 keping kad CIDB, enam keping kad pekerja asing (i-Kad), tujuh buku rekod bayaran, lapan fail syarikat, tiga keping lesen syarikat, seunit dekoder CCTV dan seunit telefon pintar.

Beliau berkata, berdasarkan jumlah bayaran dikenakan oleh suspek berkenaan ia boleh mengaut keuntungan mencecah jutaan ringgit selama kira-kira setahun beroperasi.

Katanya, siasatan awal mendapati wanita berkenaan turut dibantu warga Bangladesh bagi mendapatkan pelanggannya.

ANTARA pasport yang dirampas. FOTO Genes Gulitah.
ANTARA pasport yang dirampas. FOTO Genes Gulitah.

Menurutnya, selain wanita tempatan berkenaan, tiga lelaki warga Bangladesh lingkungan usia 42 hingga 48 tahun turut ditahan mengikut Akta Pasport 1959/63 untuk siasatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Mei 2023 @ 6:52 PM