ANTARA pasport yang dirampas oleh Jabatan Imigresen dalam dua serbuan yang dilakukan sekitar Kuala Lumpur. FOTO IHSAN JIM
ANTARA pasport yang dirampas oleh Jabatan Imigresen dalam dua serbuan yang dilakukan sekitar Kuala Lumpur. FOTO IHSAN JIM
Noor Atiqah Sulaiman


TAWARKAN Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) palsu pada harga antara RM6,500 hingga RM8,000 bagi setiap pendatang asing bermasalah.

Kegiatan sindiket menjual dokumen palsu itu bagaimanapun berjaya ditumpaskan hasil dua operasi berasingan diadakan pada hari Khamis dan semalam di sekitar ibu kota.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, menerusi serbuan itu pihaknya berjaya menahan lapan individu warga asing termasuk dalang utama sindiket berkenaan.

Katanya, antara yang ditahan termasuklah dua lelaki dan wanita warga negara Bangladesh, dua wanita warga Indonesia, seorang kanak-kanak perempuan warga Bangladesh dan seorang kanak-kanak lelaki warga Indonesia.

"Serbuan pertama diadakan pada Khamis lalu terhadap sindiket yang dikesan mendapatkan PLKS kepada pekerja di tapak pembinaan sekitar ibu kota.

"Sindiket ini mengenakan caj bayaran sekitar RM6,500 hingga RM8,000 untuk setiap permohonan pertama manakala RM2,500 untuk pembaharuan.

"Semakan juga mendapati mereka bertindak sebagai ejen pekerja asing walaupun tidak berdaftar dengan Kementerian Sumber Manusia," katanya tadi.

Khairul Dzaimee berkata, semasa serbuan dijalankan suspek yang ditahan cuba melengahkan masa serta bertindak mencampak satu beg mengandungi 18 pasport daripada tingkap rumah yang terletak di tingkat tujuh.

"Bagaimanapun, pasport berkenaan berjaya dijumpai pegawai operasi. Kami turut menemui 177 pasport warga negara asing, salinan transaksi bayaran, wang tunai berjumlah RM4,000, dua unit komputer, dua unit mesin pencetak dan sebuah kereta milik salah seorang lelaki Bangladesh ditahan itu," katanya.

Menurutnya, dalam operasi kedua semalam, seramai 28 pegawai imigresen menyerbu Apartment Vista Saujana, Kuala Lumpur.

"Hasil pemeriksaan ke atas premis dihuni tiga lelaki warga Bangladesh itu mendapati mereka menjalankan aktiviti mencetak pas PLKS dan Pas Khas kepada warganegara asing terutamanya dari Bangladesh.

"Pegawai operasi menjumpai 58 keping pasport Bangladesh yang disimpan dan disorok dalam periuk nasi dan di dalam bekas beras. Selain itu, pasukan operasi turut menjumpai enam keping pelekat Visa Jabatan Imigresen dengan lima daripadanya sudah dicetak," katanya.

Khairul Dzaimee berkata hasil soal siasat mendapati kesemua suspek mengakui melakukan aktiviti haram itu ketika bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negara iaitu pada Mac lalu.

"Mereka mengenakan bayaran sebanyak RM5,000 seorang untuk mendapatkan kemudahan Pas Khas dan PLKS yang dipercayai palsu. Kesemua urusniaga pembayaran dijalankan secara perbankan dalam talian," katanya.

Tambahnya kesemua tahanan akan ditempatkan di Lokap Tahanan Imigresen Putrajaya untuk siasatan dan tindakan susulan. Siasatan ke atas dalang sindiket dijalankan di bawah Seksyen 55D Akta Imigresen 1959/63 kerana memalsukan dokumen.

"Jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak kurang dari RM30,000 dan penjara tidak kurang lima tahun serta boleh dikenakan sebatan tidak melebihi enam sebatan.

"Manakala warga asing yang lain disiasat diatas pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

"Jabatan Imigresen menggesa agar orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai PATI atau maklumat berkaitan aktiviti yang menyalahi undang-undang dan boleh menggugat kedaulatan negara supaya tampil menyalurkan maklumat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Ogos 2020 @ 5:58 PM