Baharom Bakar

Kuala Terengganu: Jawatankuasa Masjid Al-Muktafi Billah Shah di sini, mewujudkan pusat aktiviti kanak-kanak atau Qismul Aulad bagi memberi keselesaan kepada jemaah yang membawa anak menunaikan solat tarawih sepanjang Ramadan ini.

Ahli Lembaga Pengarah Masjid Al-Muktafi Billah Shah atau lebih dikenali dengan masjid Ladang, Dr Fauziah Wan Jaafar berkata, ibu bapa yang membawa anak bersama boleh menunaikan solat tarawih dengan lebih selesa tanpa memikirkan anak.

Menurutnya, kanak-kanak berusia antara empat dan sembilan tahun yang dibawa ibu bapa ke masjid untuk menunaikan solat tarawih akan ditempatkan di pusat aktiviti kanak-kanak.

"Sepanjang berada di pusat itu, kanak-kanak akan menjalani proses pengajaran mengikut modul adap dan nilai moral serta akhlak.

"Kanak-kanak berusia antara empat dan enam tahun akan diajar melukis dan mewarna, permainan uji minda, sesi bercerita, fun with English, asas kraftangan dan tayangan gambar," katanya ketika ditemui di dewan A'asim, di sini.

Dr Fauziah yang juga penasihat pusat aktiviti kanak-kanak berkata, kanak-kanak itu juga turut bersama menunaikan solat tarawih di pusat aktiviti kanak-kanak.

"Sejak bermulanya solat tarawih sehari sebelum umat Islam berpuasa, ramai ibu bapa yang membawa anak mereka memilih untuk menunaikan solat tarawih sebanyak 20 rakaat.

"Kanak-kanak yang ditinggalkan di pusat aktiviti itu akan dijemput ibu bapa selepas selesai menunaikan solat tarawih dan kita menghadiahkan hadiah iringan berbentuk belon kepada kanak-kanak berkenaan," katanya yang mengesahkan sejak Rabu lalu seramai 30 hingga 60 kanak-kanak yang mengikut ibu bapa menunaikan solat tarawih mengikuti aktiviti di pusat berkenaan.

Dr Fauziah berkata, antara tujuan jawatankuasa masjid menubuhkan pusat aktiviti kanak-kanak di masjid berkenaan adalah mewujudkan suasana kondusif dalam kalangan jemaah menjalani ibadah solat tarawih dalam dewan masjid dengan tenang, khusyuk dan selesa tanpa gangguan daripada anak yang dibawa bersama.

Katanya, pusat itu turut dikendalikan enam orang sukarelawan daripada beberapa universiti awam di negeri terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mac 2023 @ 1:55 PM
KANAK-KANAK berusia antara empat dan sembilan tahun yang dibawa ibu bapa ke masjid untuk menunaikan solat terawih akan ditempatkan di Pusat Aktiviti kanak-kanak atau Qismul Aulad, Masjid Al-Muktafi Billah Shah.  FOTO Ghazali Kori
KANAK-KANAK berusia antara empat dan sembilan tahun yang dibawa ibu bapa ke masjid untuk menunaikan solat terawih akan ditempatkan di Pusat Aktiviti kanak-kanak atau Qismul Aulad, Masjid Al-Muktafi Billah Shah. FOTO Ghazali Kori