SEBAHAGIAN kanak- kanak yang menerima hadiah istimewa daripada pihak Pengurusan Masjid Kapitan Keling kerana berjaya habiskan solat terawih 20 rakaat pada 10 malam pertama Ramadan. FOTO Ihsan Pengurusan Masjid Kapitan Keling
SEBAHAGIAN kanak- kanak yang menerima hadiah istimewa daripada pihak Pengurusan Masjid Kapitan Keling kerana berjaya habiskan solat terawih 20 rakaat pada 10 malam pertama Ramadan. FOTO Ihsan Pengurusan Masjid Kapitan Keling
Zuhainy Zulkiffli

Georgetown: Wajah ceria 13 kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah yang menerima hadiah daripada pihak Pengurusan Masjid Kapitan Keling, di sini, semalam selepas selesai menjalani solat tarawih 20 rakaat.

Hadiah diberi berdasarkan cap pada kad yang ditandatangani Pengerusi masjid, Faruk Raja Mohamed setiap kali selepas selesai solat tarawih selama 10 kali sejak malam 1 Ramadan lalu.

Setiausaha Masjid Kapitan Keling, Mohamed Rizdwan Abdul Ghafoor Khan berkata, hadiah itu diberi sebagai galakan atau motivasi kepada kanak-kanak berkenaan bagi menjalani solat tarawih.

Katanya, inisiatif itu bukan sahaja memberi semangat kepada kanak-kanak, malah mereka berazam mahu menghabiskan solat tarawih sehingga malam terakhir Ramadan.

"Pada malam ini (malam tadi), kanak-kanak berkenaan diraikan dengan diberi hadiah berupa permainan.

"Mereka dan kanak-kanak lain terutama pelajar di bawah usia 17 tahun yang berminat, masih berpeluang mendapatkan hadiah istimewa dengan syarat, datang ke masjid dan tunaikan solat tarawih 20 rakaat selama 10 malam," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Menurut Mohamed Rizdwan, kebanyakan kanak-kanak yang menerima hadiah itu berasa teruja dan mahu datang lagi bersama ibu bapa atau waris bagi menunaikan solat tarawih.

Kebanyakan mereka yang memenangi hadiah itu sangat gembira dan ingin teruskan misi mengumpul lain-lain hadiah sepanjang bulan Ramadan ini

"Malah, pihak kami juga mendapat maklum balas positif dalam kalangan ibu bapa dan waris berhubung inisiatif ini.

" Bagi 10 malam kedua dan ketiga, pihak pengurusan masjid mempertimbang bagi memberi hadiah kereta kawalan jauh, dron dan lain-lain bagi menggalakkan lebih ramai kanak-kanak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 April 2023 @ 11:08 AM