Mohd Hanafis Abd Haris


"IDEA ini tercetus apabila melihat kanak-kanak yang ditinggalkan ketika ibu bapa solat, bertindak luar kawalan. Paling teruk ada yang pernah mengusik sistem audio hingga menyebabkan ibadah solat Tarawih terganggu," kata Pengerusi Biro Muslimat Masjid Bandar Seri Putra, Kajang, Faridah Musa berhubung perkhidmatan penjagaan kanak-kanak yang disediakan di masjid berkenaan sejak tiga tahun lalu.

Khidmat jagaan kanak-kanak atau dikenali sebagai Nurseri Ramadan itu disediakan sepanjang Ramadan selepas solat Maghrib bagi memudahkan ibu bapa menunaikan solat Isyak dan solat Tarawih tanpa sebarang kebimbangan terhadap keselamatan anak mereka.

Perkhidmatan percuma itu merangkumi aspek penjagaan, aktiviti serta makanan kepada kanak-kanak berusia seawal enam bulan hingga 9 tahun.

Faridah berkata, khidmat berkenaan mula disediakan tiga tahun lalu dan hanya pada Jumaat, Sabtu dan Ahad.

"Bagaimanapun, apabila ia mendapat sambutan menggalakkan kami ahli jawatankuasa (AJK) masjid sepakat menawarkan khidmat terbabit setiap hari bermula Ramadan tahun ini.

"Kini lebih 60 kanak-kanak dihantar oleh ibu bapa setiap hari dan jumlah itu semakin meningkat saban hari. Paling sedikit pun seramai 40 orang iaitu pada hujung minggu," katanya.

Menurut Faridah, ibu bapa yang ingin menghantar anak mereka dibawah jagaan program 'Nurseri Ramadan' hanya perlu mendaftarkan nama dan juga nombor telefon.

"Anak mereka kemudian akan diberi tag nama bagi memudahkan kami mengawasi pergerakan kanak-kanak ini," katanya.

Menurutnya, pelbagai aktiviti turut disusun sepanjang perkhidmatan itu dilaksanakan termasuk aktiviti melukis, mewarna dan juga permainan sukaneka.

"Semua aktiviti dilakukan di dalam bilik khas yang diselia oleh seramai tujuh petugas setiap malam," katanya.

Menurutnya, orang ramai yang berdepan dengan masalah penjagaan anak ketika solat Isyak dan solat Tarawih sepanjang Ramadan ini boleh datang ke Masjid Bandar Seri Putra bagi mendapatkan perkhidmatan jagaan berkenaan.

Sementara itu, Herni Azria Badri, 35, berkata, khidmat penjagaan kanak-kanak itu harus dipraktikkan di semua masjid kerana ia memudahkan ibu bapa menunaikan solat dengan lebih tenteram dan khusyuk .

"Malah, dengan kehadiran perkhidmatan ini bolehlah kami, ibu bapa ini memperbanyakkan amal ibadah seperti menunaikan solat Tarawih di masjid," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Jun 2017 @ 9:44 PM