Enam jemaah cilik yang menerima hadiah utama berikutan lengkap solat tarawih 20 rakaat selama 10 hari, di Masjid Kapitan Keling di sini. FOTO ZUHAINY ZULKIFFLI
Enam jemaah cilik yang menerima hadiah utama berikutan lengkap solat tarawih 20 rakaat selama 10 hari, di Masjid Kapitan Keling di sini. FOTO ZUHAINY ZULKIFFLI
Zuhainy Zulkiffli

Georgetown: Menerima hadiah daripada pihak Masjid Kapitan Keling di sini, memberi keceriaan kepada Muhd Shafril Sanusi yang baharu sahaja kehilangan bapa.

Hadiah itu diberikan pihak masjid kepada kepada kanak-kanak yang lengkap solat tarawih 20 rakaat selama 10 hari.

Tambahan pula, hadiah yang diberikan itu diterima Muhd Shafril, 7, pada hari ulang tahun kelahirannya.

Neneknya, Rahmatunnisa Mohd Sadakatullah, 51, berkata sebelum ini cucunya kerap menunaikan solat fardu Maghrib dan Isyak di masjid bersama bapa atau datuknya.

Selepas bapanya meninggal dunia akibat ketumbuhan di kepala pada pertengahan Februari lalu, anak sulung daripada dua beradik itu mengikuti datuknya bersolat di masjid berkenaan.

"Sejak kecil, memang dia sudah biasa mengikut arwah bapanya ke masjid dan sekarang sudah tidak perlu ajak atau paksa tetapi dia sendiri yang mahu ikut (ke masjid).

"Dia tidak tahu bahawa hari ini (semalam) pihak masjid menyediakan hadiah berkenaan dan terkejut apabila namanya dipanggil bagi menerima hadiah utama serta menganggap sebagai hadiah hari jadi," katanya ketika ditemui.

Rahmatunnisa berkata, ketika bersolat jemaah, Muhd Shafril akan berada di saf hadapan dan itulah yang sering diingatkan oleh arwah bapanya.

"Saya juga mengingatkannya supaya tidak berharap kepada imbuhan atau hadiah apabila bersolat di masjid kerana tujuan kita adalah bagi menunaikan kewajipan kepada Allah SWT," katanya yang tinggal di Lebuh Macallum di sini.

Muhd Shafril antara enam daripada 46 jemaah kanak-kanak yang menerima hadiah utama berupa alat permainan minda berikutan lengkap solat terawih 20 rakaat sepanjang 10 hari.

Selain Muhd Shafril, turut dipilih menerima hadiah berkenaan adalah Muhammad Arfan Muhammad Azlam, 9, yang hadir ke masjid bersama ibu dan bapanya.

Ibunya, Rahana Mohd Ghouse, 36, berkata, Muhammad Arfan dan adiknya sering sering mengikuti suaminya menunaikan solat fardhu serta tarawih sejak beberapa tahun lalu.

"Mereka sudah biasa menjaga diri dengan suasana di masjid serta menjaga adab di rumah Allah, mungkin kerana sudah biasa dibawa bersolat jemaah.

"Bagi kanak-kanak seperti Muhammad Arfan, hadiah ini besar nilainya dan diharap bersolat jemaah di masjid akan terus menjadi rutin kepada anak saya," katanya yang tinggal di Jalan P Ramlee di sini.

Sementara itu, Setiausaha Masjid Kapitan Keling Mohamed Rizwan Abdul Ghafoor Khan berkata, hadiah utama kepada enam kanak-kanak yang berjaya melengkapkan 20 rakaat tarawih itu adalah sebagai dorongan supaya mereka terus bersolat jemaah di masjid dan kekal berada di saf hadapan.

Menurutnya, seramai 40 kanak-kanak lagi turut diberi hadiah sebagai galakan supaya mereka mahu mengikut ibu bapa bersolat di masjid, selaras dengan sasaran 100 kanak-kanak datang solat tarawih pada Ramadan tahun ini.

"Sejak program ini dimulakan pada Ramadan tahun lalu, ia menunjukkan perkembangan positif apabila jumlah jemaah cilik ke masjid ini meningkat sehingga 35 peratus.

"Hadiah ini merupakan sumbangan daripada ibu bapa dan jemaah masjid. Kita bukan didik mereka mengenai kebendaan tetapi lebih kepada beri pendedahan awal dan menghayati solat ," katanya.

Menurut Mohamed Rizwan lagi, kesemua jemaah kanak-kanak yang hadir menunaikan solat tarawih di masjid itu ditemani waris masing-masing.

"Setiap kali sebelum solat tarawih, kanak-kanak itu akan diberi taklimat serta peringatan mengenai adab ketika berada di dalam masjid.

"Bagi solat tarawih pada 20 Ramadan akan datang, jumlah hadiah akan dinaikkan untuk menarik lebih ramai kanak-kanak dan hadiah yang disediakan itu terdiri daripada barangan berkonsepkan pendidikan serta lebih bermanfaat," katanya.

Hadiah diberi berdasarkan cop pada buku khas yang ditandatangani setiap kali selepas selesai solat tarawih selama 10 hari.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mac 2024 @ 12:36 PM