Baharom Bakar

Kuala Terengganu: Kebenaran menunaikan solat Jumaat mengikut keluasan masjid yang bermula hari ini, memberi keterujaan kepada jemaah di Terengganu hingga ada antaranya yang terlupa untuk membawa sejadah sendiri.

Akibatnya, jemaah itu terpaksa pulang semula kerana keperluan membawa sejadah termaktub sebagai sebahagian prosedur operasi standard (SOP) bersolat di masjid dalam tempoh Fasa Kedua Pelan Pemulihan Negara.

Tinjauan di Masjid Al-Muktafi Billah Shah di sini, mendapati jemaah yang tidak mematuhi SOP tidak dibenarkan masuk ke dewan solat oleh pengurusan masjid.

"Saya terlupa bawa sejadah kerana tergesa-gesa untuk ke masjid sebab bimbang jika ruang solat penuh, malah saya pun terlupa yang kini jemaah mengikut kapasiti masjid," kata seorang jemaah yang enggan dikenali.

Dalam pada itu, jemaah, Nasir Ismail, 65, berkata, dia sangat bersyukur akhirnya dapat menunaikan solat Jumaat selepas semua masjid ditutup kerana Perintah Kawalan Pergerakan sejak Mei lalu.

"Kebenaran menunaikan solat Jumaat dan solat fardu di masjid atau surau sememangnya ditunggu-tunggu," katanya.

Sebahagian jemaah memenuhi dewan untuk menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, hari ini. FOTO BAHAROM BAKAR
Sebahagian jemaah memenuhi dewan untuk menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, hari ini. FOTO BAHAROM BAKAR

Bagi jemaah, Noor Fadzil Mohamed Nor, 68, pula, kebenaran bersolat itu sewajarnya dimanfaatkan umat Islam di Terengganu sepenuhnya, dengan turut mematuhi SOP bagi mencegah Covid-19.

Katanya, keingkaran jemaah mematuhi SOP boleh menyebabkan kerajaan menarik balik kebenaran itu.

"Jadi kita wajar manfaatkan peluang ini dan patuh SOP ketika di masjid atau surau," katanya.

Sementara itu, Imam masjid itu, Raja Ahmad Harif Raja Shaifulzaman berkata, jemaah yang hadir diwajibkan mematuhi SOP termasuk membawa sejadah sendiri dan memakai pelitup muka.

"Mereka yang tidak patuh, tidak dibenarkan masuk. Selain itu jemaah juga perlu mendaftar kemasukan menerusi mySejahtera dan memeriksa suhu badan," katanya.

Selain itu, beliau memberitahu, jawatankuasa masjid turut memutuskan untuk mengekalkan sistem nombor bagi menentukan jumlah kemasukan jemaah yang selaras pematuhan SOP.

"Walaupun masjid boleh memuatkan kira-kira 5,000 jemaah, tetapi selepas mengambil kira penjarakan fizikal seperti ditetapkan kerajaan, kita hanya membenarkan 850 jemaah untuk menunaikan solat Jumaat hari ini," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Julai 2021 @ 3:57 PM