PIHAK masjid sediakan 'Kidszone' di Masjid Sultan Idris Shah II, Ipoh bagi memudahkan ibu bapa menunaikan solat sunat tarawih sepanjang Ramadan. FOTO Ihsan Masjid Sultan Idris Shah II
PIHAK masjid sediakan 'Kidszone' di Masjid Sultan Idris Shah II, Ipoh bagi memudahkan ibu bapa menunaikan solat sunat tarawih sepanjang Ramadan. FOTO Ihsan Masjid Sultan Idris Shah II
Shaarani Ismail


PEMBUKAAN zon kanak-kanak atau `Kidszone’ di Masjid Sultan Idris Shah II yang juga Masjid Negeri di Ipoh sepanjang Ramadan ini memudahkan ibu bapa menunaikan solat sunat Tarawih selain mengurangkan gangguan bising daripada kanak-kanak yang leka bermain ketika jemaah sedang menunaikan solat.

Tanpa sebarang bayaran dikenakan, ibu bapa kini boleh menunaikan solat sunat Tarawih dengan lebih tenang kerana anak kecil yang dibawa bersama boleh diletakkan sementara di `KidsZone’ sambil mereka melakukan pelbagai aktiviti dan permainan yang disediakan di situ.

Imam Besar Masjid Sultan Idris Shah II, Abdul Farid Salleh berkata, kemudahan itu baharu saja diperkenalkan Ramadan tahun ini selepas dua bilik kuliah tertutup yang terletak di aras satu masjid kini sudah siap diubahsuai dan dijadikan Kidszone.

“Dengan pelbagai kemudahan disediakan di masjid, ibu bapa kini boleh membawa bersama anak kecil berusia antara empat hingga tujuh tahun dengan tenang ketika mahu menunaikan solat sunat Tarawih tanpa bimbang gangguan bising serta keadaan anak kecil yang tidak dipantau.

“Hasrat masjid adalah untuk menggalakkan orang ramai dan kanak-kanak memeriahkan masjid sepanjang Ramadan,” katanya yang ditemui di pejabatnya di Ipoh, hari ini.

Abdul Farid berkata, sejak hari pertama Kidszone dibuka, sambutan yang diterima sangat menggalakkan dengan purata antara 20 hingga 30 kanak-kanak ditempatkan di situ, malah jumlah jemaah juga dilihat semakin bertambah selepas kemudahan itu diperkenalkan.

Katanya, langkah itu juga bertujuan menjadikan Masjid Negeri sebagai masjid yang mesra kanak-kanak, malah dengan pelaksanaan kemudahan itu, diharap masjid lain di seluruh negeri yang mempunyai kemudahan ruang tertutup yang tidak digunakan boleh melakukan tindakan sama.

“Setakat ini Kidszone diselia oleh dua kakitangan wanita masjid selain dibantu beberapa sukarelawan bagi memantau kanak-kanak yang ditempatkan di situ.

“Diharapkan juga dengan adanya zon khusus bagi kanak-kanak yang disediakan ini, persepsi ibu bapa yang bimbang anak mengganggu jemaah lain menunaikan solat dapat dikurangkan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Unit Imarah Masjid (wanita), Pejabat Pentadbiran Masjid Sultan Idris Shah II, Nurul Wahidah Zakaria berkata, sambutan diterima daripada ibu bapa sejak pusat itu dibuka sangat menggalakkan malah pada masa yang sama ia turut meningkatkan jumlah jemaah.

“Sumbangan buku dan mainan adalah daripada jemaah yang turut sama menyokong usaha ini.

“Tiada sebarang bayaran dikenakan, namun kawalan keselamatan menjadi keutamaan, termasuk setiap kanak-kanak perlu dihantar ibu bapa sendiri dan diberikan kad pendaftaran pendua yang hanya membenarkan ibu bapa sahaja mengambil dan menghantar anak di pusat itu,” katanya.

Katanya, Kidszone itu juga ditutup dan kanak-kanak tidak dibenarkan keluar dan hanya boleh keluar apabila ibu bapa yang menghantar, mengambil semula anak yang ditinggalkan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mei 2019 @ 2:05 PM