(DARI kiri) Wan Rosdy, Mohamed Khaled dan Johari. FOTO arkib NSTP
(DARI kiri) Wan Rosdy, Mohamed Khaled dan Johari. FOTO arkib NSTP
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Jawatan Naib Presiden Umno bakal menyaksikan penampilan dua muka baru apabila masing-masing berjaya mengisi tiga tempat dalam Pemilihan Umno 2023-2026.

Muka baru itu adalah Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Manakala penyandang yang juga Pengerusi Perhubungan Umno Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berjaya mempertahankan jawatannya.

Sehingga 12 tengah hari ini, Wan Rosdy mendahului saingan dengan memperoleh 119 undi daripada 189 bahagian, diikuti Mohamed Khaled (111) dan Johari (99).

Satu-satunya wanita yang bertanding jawatan Naib Presiden, Datuk Seri Azalina Othman Said berada di kedudukan keempat dengan memperoleh 67 undi.

Bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan bekas Menteri Besar Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad masing-masing memperoleh 44 dan 41 undi.

Manakala hasrat Datuk Seri Mahdzir Khalid yang juga penyandang mempertahankan jawatannya pada sesi kali ini dilihat hampir mustahil kerana hanya berada di kedudukan ketujuh dengan jumlah undi 35.

Seorang lagi calon, Dr Mohd Yusof Musa belum mendapat sebarang undi sehingga kini.

Bagi jawatan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno pula, antara yang hampir pasti menjawat jawatan itu adalah Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah yang mendahului saingan dengan meraih 156 undi, diikuti Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir yang meraih 153.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pula memperoleh 149 undi dan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan 145 undi.

Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin memperoleh 141 undi, diikuti bekas Ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub dengan 133 undi.

Turut berada dalam senarai tertinggi ialah bekas Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Rahim (132); bekas Ahli MKT, Datuk Azian Osman (115); bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Sentul Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin (113) dan bekas Ahli MKT, Datuk Shaik Hussein Mydin (106).

Sementara itu, bagi pemilihan jawatan Ketua Umno Bahagian di Kedah, antara yang mencuri tumpuan adalah bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah menang jawatan Ketua Bahagian Umno Alor Setar selepas menewaskan lawannya, Zambri Mat yang juga bekas Timbalan Ketua Umno Bahagian.

Manakala anak bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak iaitu Datuk Mohd Nazifuddin antara muka baru yang memenangi jawatan Ketua Umno Bahagian Langkawi selepas menewaskan pencabarnya, Nor Saidi Nanyan.

Mohd Nazifuddin turut menawarkan diri bertanding jawatan Naib Ketua Pemuda Umno dalam pemilihan kali ini tetapi tewas selepas jawatan itu dimenangi Mohd Hairi Mad Shah minggu lalu.

Muka baru lain adalah Datuk Muhamad Khizri Abu Kassim yang menang Ketua Umno Bahagian Sik mengalahkan penyandang, Datuk Mohd Tajudin Abdullah.

Bagaimanapun, cubaan bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Johari Baharom mencipta kejutan di Kubang Pasu gagal apabila tewas kepada penyandang jawatan, Datuk Aminuddin Omar.

Di Kuala Lumpur, antara mencipta kejutan adalah Setiausaha Politik kepada Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi iaitu Datuk Mohd Razlan Rafii yang menang jawatan Ketua Umno Bahagian Seputeh.

Beliau menewaskan penyandang, Datuk Mustapa Kamal Mohd Yusoff.

Di Selangor, hasrat bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo untuk menang jawatan Ketua Umno Bahagian Sungai Besar tidak kesampaian apabila tewas di tangan penyandang, Datuk Seri Jamal Md Yunos.

Kemenangan Jamal itu sekali gus mengekalkan jawatan disandangnya selama dua penggal sebelum ini.

Turut memperoleh kemenangan, Datuk Armand Azha Abu Hanifah yang menang Ketua Umno Bahagian Subang dan mempertahankan jawatan dimenanginya dalam pemilihan parti pada 2018.

Bekas ahli MKT Umno itu sebelum ini tewas dalam pertandingan Ketua Pemuda Umno minggu lalu.

Selain itu, penyandang yang juga Ketua Umno Bahagian Bangi, Datuk Dr Mohd Zaidi Md Zain juga mengesahkan kemenangannya dalam sesi pemilihan kali ini.

Di Perlis, antara yang mencuri tumpuan adalah pertandingan jawatan Ketua Umno Bahagian Kangar apabila bekas Ahli MKT Umno, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya berjaya memenangi jawatan itu.

Beliau menewaskan penyandang yang juga bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man.

Umno Bahagian Arau dilihat berwajah baru apabila Datuk Rozabil Abd Rahman menjawat jawatan Ketua Umno Bahagian menamatkan dominasi Datuk Seri Shahidan Kassim.

Rozabil dilapor menang tanpa bertanding bagi jawatan itu.

Di Kelantan, antara bahagian yang menjadi tumpuan adalah Gua Musang yang mana Tengku Razaleigh Hamzah mengekalkan penguasaannya sebagai Ketua Umno Bahagian sejak 1962.

Veteran politik yang mesra disapa sebagai Ku Li itu mengatasi dua pencabarnya, Che Mohd Izani Che Musa dan Datuk Saari Lembut.

Tengku Razaleigh dilaporkan mula menyandang jawatan Ketua Umno Bahagian Gua Musang ketika berusia 25 tahun dan kemenangan ini menobatkannya sebagai Ketua Umno Bahagian paling lama berkhidmat di negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Mac 2023 @ 1:02 PM