GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Kod etika berpakaian di premis kerajaan sepatutnya tidak menimbulkan isu kerana masyarakat umum sudah pun maklum mengenainya, kata Pakar Sosial Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran.

Lagipun, katanya, setiap anggota masyarakat perlu memahami bahawa setiap tempat atau lokaliti sudah mempunyai tatacara atau pun kaedah peraturan masing-masing.

Katanya, orang luar dari lokaliti seharusnya menghormati peraturan atau pun kaedah yang digunapakai di lokaliti berkenaan.

"Kalau kita lihat isu yang berlaku (mengenai etika berpakaian di premis kerajaan) kebelakangan ini sebenarnya sepatutnya bukanlah menjadi isu.

"Saya bagi contoh secara am. Apabila kita pergi ke negara lain, sama ada melancong, bekerja dan sebagainya maka suka atau tidak suka kita perlu akur kepada peraturan yang telah ditetapkan oleh negara tersebut.

"Contohnya, gula-gula getah yang diharamkan di Singapura di bawah Peraturan-Peraturan Import dan Eksport (Chewing Gum) yang mana larangan itu merangkumi semua jenis yang berasal dari sayur-sayuran atau sintetik seperti gula-gula getah dan gula-gula getah pergigian.

"Sekiranya didapati bersalah, ia membawa hukuman denda yang tinggi dan kemungkinan hukuman penjara bagi mereka yang ditangkap mengimport, menjual atau mengeluarkan gula-gula getah," katanya.

Mohammad Shatar yang juga Ketua Pegawai Eksekutif, Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) berkata, contoh lain adalah keperluan mengenakan pakaian bersesuaian untuk masuk premis yang bersifat keagamaan seperti masjid.

Apa pun, katanya, sebagai warga Malaysia khususnya wajarlah menghormati dan akur kepada peraturan sedia ada termasuk keperluan mematuhi etika berpakaian di premis kerajaan dan seharusnya ia tidak menjadi sebarang isu.

Antara insiden tular membabitkan individu dilarang memasuki premis kerajaan atas alasan pelanggaran kod pakaian termasuk di pejabat Majlis Bandaraya Pasir Gudang, Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang, pejabat Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Hospital Kampar.

Semalam, mengulas isu sama, Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa, dilaporkan berkata, semua petugas dan pengamal perubatan di sektor awam perlu memberi keutamaan untuk merawat pesakit tanpa mengira kod etika pakaian individu terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Mac 2023 @ 5:03 PM