GAMBAR kenangan Maria Morgan (kiri) dan anaknya, Jenkins yang meninggal dunia sedekad lalu. FOTO Agensi
GAMBAR kenangan Maria Morgan (kiri) dan anaknya, Jenkins yang meninggal dunia sedekad lalu. FOTO Agensi
Agensi

Wales: Seorang wanita di Felinfoel, South Wales percaya kematian anak perempuannya sedekad lalu kemungkinan berpunca daripada penurunan garam dalam badan akibat terlalu kerap mengunyah gula-gula getah.

Metro UK melaporkan Maria Morgan berkata, dia menyedarinya selepas salah seorang anak perempuannya menemui beberapa bungkusan dan pembalut gula-gula getah bilik Samantha Jenkins yang meninggal dunia pada 3 Jun 2011.

Hasil pemeriksaan mendapati setiap beg dan laci di bilik tidur Jenkins mengandungi pembalut dan kotak gula-gula getah serta resit pembelian.

"Saya tidak sedar berapa kali dia (Jenkins) mengunyah setiap hari dalam seminggu dan bilangan gula-gula getah dalam simpanannya ketika itu

"Bagaimanapun, saya ada merujuk di internet bagi mengetahui kesan tabiat mengunyah gula-gula getah terlalu kerap dan dapatan diperoleh amat mengejutkan.

"Bahan tiruan yang terdapat dalam gula-gula getah sangat berbahaya dan boleh menyebabkan paras garam dalam badan turun secara drastik hingga mengalami kesan sampingan seperti radang usus," katanya.

Dalam siasatan beberapa tahun kemudian, seorang koroner tidak dapat mengesahkan gula-gula getah menjadi punca kematian Jenkins, lapor Media Wales.

Bagaimanapun, Dr Paul Griffiths yang juga ahli patologi di Hospital Morriston melaporkan menemui empat atau lima benjolan 'hijau terang' akibat mengunyah gula-gula getah.

Beliau mengaitkan kematian itu dengan hipoksia serebrum yang disebabkan oleh kekejangan serta penipisan elektrolit.

Jenkins juga kemungkinan mengalami kekurangan magnesium, kalium, natrium dan kalsium yang teruk.

Koroner mengatakan kajian menunjukkan gula-gula jenis itu selamat tetapi mungkin boleh menyebabkan penipisan elektrolit.

"Tiada bukti mengatakan kematian itu disebabkan gula-gula getah tetapi ia mungkin faktor yang menyumbang ke arahnya.

"Setakat ini, tiada kes sebegitu di negara ini tetapi ada (kes) sama jika ke Amerika Syarikat (AS)," katanya.

Ketika meratapi kehilangan Jenkins, Morgan menyifatkan kematian anaknya tidak boleh diterima seandainya benar ia disebabkan gula-gula getah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Jun 2021 @ 6:10 AM