LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
Faizul Azlan Razak


Kuala Terengganu: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu sudah menjalankan kerja penyelenggaraan dengan mengorek pasir bagi mengatasi masalah muara cetek akibat mendapan pasir di Sungai Merang, Setiu.

Bagaimanapun, kerja berkenaan hanya bersifat sementara sahaja kerana muara sungai itu mengalami mendapan setiap tahun akibat fenomena ombak dan ia lebih kritikal terutama pada musim tengkujuh.

Pengarah JPS Terengganu Hanizan Deraman berkata, JPS Terengganu menjalankan kerja penyelenggaraan dengan mengorek mendapan pasir di muara sejak 2004 dan membabitkan kos yang tinggi.

"Kejadian pemendapan pasir ini sentiasa berlaku disebabkan keadaan ombak di kawasan pesisiran pantai yang akan sentiasa mengubah keadaan muara ditambah pasir dari sungai menyebabkan keadaan muara menjadi cetek.

"Walaupun kerja mengorek pasir dijalankan, keadaan ombak laut yang sentiasa berubah dan kadar aliran air sungai ke muara perlahan menyebabkan mendapan senang berlaku di muara," katanya menerusi kenyataan, di sini, hari ini.

Hanizan berkata, dalam usaha jangka masa panjang, Kerajaan Persekutuan sudah meluluskan Projek Pemuliharaan Muara Sungai Merang di bawah kelulusan Rancangan Malaysia Ke-11 bagi menjalankan kajian projek di muara Sungai Merang.

"Pada masa sekarang, JPS dalam proses melantik perunding reka bentuk terperinci bagi projek terbabit," katanya.

Kelmarin, akhbar ini melaporkan, kira-kira 300 penduduk berganding bahu membuat benteng di muara berkenaan selepas tidak tahan menanggung kerugian dan bot sentiasa rosak tersangkut pada beting pasir akibat muara cetek.

Pengusaha bot, nelayan dan penduduk mencari alternatif sendiri tanpa meminta bantuan agensi kerajaan atau wakil rakyat membina benteng menggunakan kayu dan 4,000 guni diisi pasir.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Mac 2023 @ 1:26 PM