Nurul Fatihah Sulaini


Jertih: Baki kerja Projek Pemuliharaan Muara Sungai Besut dijangka siap sepenuhnya pada Disember 2025.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, projek di bawah Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) itu membabitkan peruntukan berjumlah RM250 juta.

Katanya, skop projek meliputi pembinaan benteng pemecah ombak di bahagian utara dan selatan muara sungai masing-masing berukuran 1.3 kilometer dan 1.85 kilometer panjang.

"Projek ini juga membabitkan pembinaan lapis lindung tebing di Kampung Sungai Nail, kerja mendalamkan alur laluan bot di muara dan sungai serta penyuburan pantai di sepanjang utara Sungai Besut.

"Projek dijalankan susulan keadaan muara Sungai Besut mengalami masalah pemendapan yang menjadikannya cetek dan menjejaskan laluan keluar masuk bot," katanya selepas sesi lawatan ke Projek Pemuliharaan Muara Sungai Besut, Kuala Besut, di sini, hari ini.

Katanya, pemecah ombak sedia ada yang dibina pada 1998 kurang berkesan untuk menangani masalah pemendapan selain turut menjejaskan kelancaran aliran air banjir dari sungai keluar ke laut.

"Golongan nelayan turut menghadapi isu berikutan kedudukan jeti Lembaga Kemajuan

Ikan Malaysia (LKIM) yang terdedah kepada pukulan ombak dan menyukarkan bot berlabuh khususnya semasa musim ombak kuat dan musim tengkujuh.

"Sebelum ini projek yang bermula sejak 2016 itu tidak dapat disiapkan seperti dijadualkan pada Disember 2019 ekoran masalah infrastruktur dan kelemahan kontraktor.

"Justeru, penamatan kontrak pada Disember 2020 selepas menyiapkan 64 peratus projek dan kontraktor penyelamat dilantik secara tender terbuka pada 17 November 2022 bagi meneruskan baki projek," katanya.

Nazmi berkata, penyiapan projek itu akan menyelesaikan masalah mendapan terutamanya di muara Sungai Besut, memberi perlindungan kawasan jeti dan bot dari ombak, serta dapat mengurangkan masalah hakisan pantai di kawasan pantai utara.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Jun 2023 @ 4:17 PM