Zaid Salim


Dungun: Kebimbangan rumah musnah dibadai ombak besar yang menghantui lebih 1,000 penduduk di pesisir Sungai Paka, di sini, setiap kali tiba musim tengkujuh bakal berakhir apabila projek pemuliharaan sungai berkenaan siap sepenuhnya Mei tahun depan.

Muara Sungai Paka sering kali mengalami masalah ketika musim tengkujuh seperti hakisan pantai yang teruk dan projek berkenaan sekali gus mampu menyelesaikan kebimbangan penduduk sejak 30 tahun lalu.

Pengarah Bahagian Pengurusan Zon Pantai Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Zainalfikry Daud berkata, projek bermula 2019 itu kini sudah siap 85 peratus dan dijangka siap sepenuhnya menjelang Mei 2022.

Katanya, selain mengelak berlaku hakisan pantai, projek bernilai lebih RM130 juta turut memberi kelegaan kepada lebih 600 nelayan Kuala Paka yang sebelum ini berdepan masalah muara cetek.

"Projek pemuliharaan muara Sungai Paka bertujuan mengawal hakisan pantai, mendapan di muara dan juga mencegah banjir di kawasan berhampiran muara yang sering terjadi apabila berlaku pertembungan air pasang besar dan hujan lebat.

"Selain pembinaan benteng pemecah ombak sepanjang tiga kilometer, projek yang diusahakan Vista Infinity Development Sdn Bhd juga merangkumi kerja-kerja mendalamkan muara sungai sekali gus menyelesaikan masalah muara cetek terutama ketika air surut," katanya selepas merasmikan program gotong royong Kutip Sampah Sambil Beriadah (Kudah) di tapak Projek Pemuliharaan Sungai Paka, di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah Urusan Vista Infinity Development Sdn Bhd Mohd Afif Mohd Ghani.

Zainalfikry berkata, pelaksanaan projek itu sekali gus menamatkan penantian penduduk yang terhimpit dengan masalah muara cetek serta hakisan yang teruk sehingga menjejaskan sumber pencarian utama mereka.

"Penduduk pesisir pantai ini kini boleh menarik nafas lega kerana sejak 30 tahun lalu mereka menjalani kehidupan dalam ketakutan setiap kali berlakunya ombak besar pada musim tengkujuh," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, selain muara Sungai Paka, projek pemuliharaan turut membabitkan beberapa lagi kawasan pantai di negeri ini yang terhakis teruk antaranya Pantai Mengabang Telipot hingga ke Kampung Pagar Besi, Batu Rakit di Kuala Nerus dan beberapa pantai lagi di daerah ini dan Marang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 November 2021 @ 3:45 PM
Zainalfikry (kiri) dan Mohd Afif (kanan) meninjau kerja-kerja pemuliharaan muara Sungai Paka pada Majlis Perasmian Program Sambutan Hari Keselamatan, Kesihatan dan Persekitaran di tapak Bina Projek Pemuliharaan Muara Sungai Paka. FOTO ZAID SALIM
Zainalfikry (kiri) dan Mohd Afif (kanan) meninjau kerja-kerja pemuliharaan muara Sungai Paka pada Majlis Perasmian Program Sambutan Hari Keselamatan, Kesihatan dan Persekitaran di tapak Bina Projek Pemuliharaan Muara Sungai Paka. FOTO ZAID SALIM