KEADAAN banjir di Batu Pahat, Johor. FOTO Nur Aisyag Mazalan
KEADAAN banjir di Batu Pahat, Johor. FOTO Nur Aisyag Mazalan
Izz Laily Hussein


Johor Bahru: Jumlah mangsa banjir di Johor terus berkurangan walaupun dalam jumlah yang kecil menjadi 39,315 orang setakat jam 12 tengah hari ini, berbanding 39,620 orang pada 8 pagi tadi.

Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata, semua mangsa banjir itu kini ditempatkan di 212 pusat pemindahan sementara (PPS) di sembilan daerah yang terjejas banjir.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Johor berkata, Tangkak, Kluang, Mersing, Johor Bahru dan Pontian pula kekal dengan jumlah mangsa banjir sama seperti jam 8 pagi tadi.

"Di Tangkak, jumlah mangsa banjir masih kekal seramai 2,584 orang (796 keluarga) di 22 PPS; Kluang juga kekal seramai 2,591 orang (707 keluarga) di 20 PPS dan Mersing masih dengan jumlah mangsa banjir seramai 1,164 mangsa (348 keluarga) di enam PPS.

"Johor Bahru juga kekal dengan 38 mangsa banjir (38 keluarga) di sebuah PPS dan Pontian pula 150 mangsa (39 keluarga) di empat PPS," katanya dalan kenyataan media, hari ini.

Menurut beliau, Muar, Segamat dan Kota Tinggi menunjukkan penurunan masing-masing dengan 4,106 orang (1,249 keluarga) di 23 PPS; Segamat dengan 3,620 mangsa banjir (881 keluarga) di 45 PPS dan Kota Tinggi tinggal 1,692 mangsa banjir (483 keluarga) di 13 PPS.

Katanya, hanya Batu Pahat menunjukkan peningkatan jumlah mangsa banjir berbanding pagi tadi iaitu bertambah kepada 23,370 orang (6,602 keluarga) di 78 PPS.

Sementara itu, laporan Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) pula tiada mengeluarkan sebarang amaran hujan berterusan di semua daerah di Johor.

Setakat ini, laporan cuaca sebenar pula menunjukkan Johor Bahru, Mersing, Pontian, Kota Tinggi dan Kulai hujan setakat jam 12 tengah hari ini dan daerah lain dilaporkan cerah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Mac 2023 @ 12:51 PM