JALAN Parit Yaani menuju ke Parit Sulong masih ditutup kepada semua kenderaan apabila air naik satu meter sepanjang tiga kilometer. FOTO OMAR AHMAD
JALAN Parit Yaani menuju ke Parit Sulong masih ditutup kepada semua kenderaan apabila air naik satu meter sepanjang tiga kilometer. FOTO OMAR AHMAD
Izz Laily Hussein

Johor Bahru: Jumlah mangsa banjir di daerah Batu Pahat terus menunjukkan trend meningkat apabila mencatatkan mangsa seramai 32,312 orang (8,986 keluarga) pada jam 8 malam, berbanding 30,418 orang (8,592 keluarga) pada 4 petang tadi.

Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata, semua mangsa banjir di daerah itu kini ditempatkan di 100 pusat pemindahan sementara (PPS).

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Johor berkata, selain Batu Pahat, Mersing juga mencatatkan peningkatan jumlah mangsa banjir kepada 1,164 orang (350 keluarga) yang ditempatkan di enam PPS.

"Setakat jam 8 malam, tujuh daerah di negeri ini masih terjejas akibat banjir dengan dua daerah menunjukkan peningkatan, manakala lima lagi mencatatkan penurunan mangsa banjir.

"Jumlah mangsa banjir setakat ini mencecah 42,851 orang (12,083 keluarga) yang ditempatkan di 186 PPS," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, di Muar pula, jumlah mangsa banjir menurun kepada 4,151 orang (1,243 keluarga) di 21 PPS, manakala di Tangkak kini menempatkan 2,499 orang (783 keluarga) di 21 PPS.

"Di Segamat pula kini tinggal 1,512 mangsa banjir (376 keluarga) di 27 PPS; Kluang pula dengan jumlah mangsa banjir berkurang kepada 506 orang (145 keluarga) di lima PPS dan Kota Tinggi pula semakin berkurang menjadi 707 orang (200 keluarga) di enam PPS," katanya.

Sementara itu, laporan Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) pula tiada mengeluarkan sebarang amaran hujan berterusan atau ribut petir di semua daerah di Johor.

Bagi laporan cuaca sebenar pula menunjukkan semua daerah di negeri ini dilaporkan cerah, kecuali Mersing, Kota Tinggi dan Kulai yang hujan setakat malam ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mac 2023 @ 9:22 PM