Sekitar banjir di Johor Bahru. FOTO IHSAN SWM
Sekitar banjir di Johor Bahru. FOTO IHSAN SWM
Izz Laily Hussein


Johor Bahru: Banjir di daerah ini pulih sepenuhnya apabila pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kuo Kuang di sini yang dibuka sejak 1 Mac lalu, ditutup.

Semua 38 orang mangsa banjir yang juga penghuni Pusat Jagaan Orang Tua Sam Poh, Batu 8 di sini, yang ditempatkan di PPS itu dibenarkan pulang.

Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata, walaupun begitu, jumlah mangsa banjir di lapan daerah yang terjejas menunjukkan sedikit peningkatan setakat jam 4 petang menjadi 39,477 orang (11,175 keluarga) berbanding 39,315 orang (11,143) pada jam 12 tengah hari tadi.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Johor berkata, semua mangsa banjir itu kini ditempatkan di 201 PPS selepas 17 PPS ditutup dan enam PPS baharu dibuka.

"Batu Pahat terus menunjukkan trend peningkatan jumlah mangsa banjir apabila bertambah kepada 25,690 orang (7,247 keluarga) di 84 PPS, manakala tujuh daerah lain yang masih terjejas pula menunjukkan penurunan," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Azmi berkata, Muar kini mencatatkan jumlah mangsa banjir seramai 4,040 orang (1,225 keluarga) di 21 PPS; Segamat dengan 3,054 mangsa banjir (729 keluarga) di 40 PPS dan Tangkak, jumlah mangsa banjir menurun 2,485 orang (764 keluarga) di 22 PPS.

Selain itu, katanya, Kota Tinggi pula kini tinggal 1,536 mangsa banjir (439 keluarga) di 13 PPS; Kluang terdapat seramai 1,392 mangsa (392 keluarga) di 12 PPS; Mersing dengan 1,162 mangsa (347 keluarga) di enam PPS dan Pontian pula dengan 118 mangsa (32 keluarga) di tiga PPS.

Sementara itu, laporan Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) pula tiada mengeluarkan sebarang amaran hujan berterusan di semua daerah di Johor, tetapi terdapat amaran ribut petir atau hujan lebat di Mersing, Kota Tinggi dan Johor Bahru yang diramalkan berlaku petang ini.

Setakat ini, laporan cuaca sebenar pula menunjukkan Johor Bahru, Mersing dan Segamat hujan setakat jam 4 petang ini, manakala daerah lain dilaporkan cerah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Mac 2023 @ 5:20 PM