HAKIMIE (dua dari kiri) dan Shukor (dua dari kanan) bersama pasangan teruja apabila dapat bersanding serentak, hari ini. FOTO Nor Amalina Alias
HAKIMIE (dua dari kiri) dan Shukor (dua dari kanan) bersama pasangan teruja apabila dapat bersanding serentak, hari ini. FOTO Nor Amalina Alias
Nor Amalina Alias


“DARI kecil kami bergurau mahu naik pelamin bersama-sama, tak sangka pula akhirnya menjadi kenyataan,” kata pengantin, Mohamad Hakimie Mohd Hanifah, 28, yang bersanding dalam satu majlis bersama sepupunya, Shukor Rusdi, 25, hari ini.

Kedua-dua sepupu yang mempunyai wajah seakan-akan seiras itu juga dipanggil ‘kembar’ dalam kalangan ahli keluarga diraikan lebih 1,000 tetamu dalam majlis berkonsep Melayu klasik.

Hakimie berkata, dia dan Shukor yang juga saudara sebelah ibunya memang rapat sejak kecil dan kali terakhir meluahkan hasrat mahu bersanding sekali pada Mac tahun lalu.

“Apabila Shukor berkahwin pada 26 Januari lalu, saya mengatakan hasrat ingin mengadakan majlis sambut menantu bersama, tak sangka keluarga kami menyambut baik cadangan itu dan memudahkan urusan.

“Ramai yang teruja dengan persandingan serentak ini kerana tidak membabitkan adik-beradik, sebaliknya sepupu,” katanya ketika ditemui di majlis persandingan mereka di Wakaf Baru, Kota Bharu, hari ini.

Hakimie diakad nikah dengan pasangannya, Hasila Mohd Asri, 29, hari ini, manakala Shukor diraikan bersama pasangannya, Nur Syaza Hazikah Zubir, 23, yang kedua-duanya bertugas sebagai anggota polis di Kuala Lumpur.

Rombongan keluarga Syaza datang bersama lima kereta dari Yan, Kedah manakala Hakimie meraikan isterinya berasal dari Melor, Kelantan.

Bagi Shukor, dia gembira kerana dapat menunaikan gurauan Hakimie yang dianggap seperti abang kandung sendiri.

Katanya, dia gembira kerana keluarga besar mereka dapat berkumpul sekali dalam satu majlis yang sama.

Pada majlis persandingan itu, pasangan sepupu berkenaan tona persalinan iaitu biru dan kelabu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 January 2020 @ 7:18 PM