Oleh Sudirman Mohd Tahir


Majlis perkahwinan penyanyi Kumpulan One Nation Emcees (ONE) Mimi, bersama jejaka pilihannya, Firdaus pada 7 November depan tetap diteruskan biarpun dia baru kematian bapa, Norhisham Nasir pada 28 Mei lalu.

Menurut Mimi atau nama sebenarnya Shamimi Amalina Norhisham, persiapan untuk majlis perkahwinannya 30 peratus siap dan ada beberapa pihak sudi menaja persalinan, busana, pelamin dan dewan.

“Saya sedih apabila ayah tak sempat melihat saya berkahwin. Ketika hayatnya, selepas saya bertunang arwah mahu kami segera bernikah, tapi kerana kesibukan kerja, kami tak dapat nak buat.

“Walaupun arwah selalu bercakap perkara ini, tapi saya dan tunang tak boleh paksa diri. Saya reda dengan ketentuan-Nya. Dari hari ke hari, saya sentiasa berdoa supaya majlis dipermudahkan,” katanya.

Memilih Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sebagai lokasi persandingan, majlis perkahwinan Mimi bertemakan perkahwinan klasik.

“Dewan itu boleh memuatkan 800 tetamu. Jemputan pula terdiri daripada keluarga, sanak-saudara dan sahabat handai. Saya sudah ada perancang perkahwinan bagi menguruskan segala persiapan.

“Memandangkan majlis bertemakan perkahwinan klasik, jadi saya sedikit cerewet soal konsep. Dari busana, deko dan pelamin, semuanya perlu diambil kira,” katanya.

Mimi berkata, dia juga bertegas dalam soal penajaan kerana konsep perkahwinan itu impiannya sejak kecil.

Mengakui masih terkesan dengan pemergian bapanya, boleh dikatakan setiap hari Mimi teringatkan arwah.

Jadi, satu-satunya cara supaya dia tidak terlalu terfikir adalah dengan sibuk bekerja.

Sementara itu, Mimi akan muncul dengan projek solo berjudul Bertenanglah di bawah pengurusan Nova Music tidak lama lagi.

“Single ini saya hasilkan tahun lalu sempena Malam Cipta Ekspres MACP di Port Dickson. Lagu terbabit dipilih sebagai lagu terbaik pada malam itu.

“Tertarik dengan susunan muzik dan melodinya, pihak Nova Music menawarkan kerjasama. Insya-Allah, ia dilancarkan tidak lama lagi,” katanya.

Bagaimanapun, itu tidak menghalang Mimi daripada terus bergerak aktif bersama kumpulannya.

“ONE sudah sebati dengan saya dan tak boleh hilang dalam diri. ONE tetap ada dan bergerak seiring dengan kerjaya solo saya. Saya tetap bersama mereka,” katanya.

Menurutnya, ONE akan memulakan penggambaran muzik video selepas sambutan Aidilfitri ini.

Bersempena Syawal baru-baru ini, Mimi akhirnya dapat pulang ke kampung sebelah arwah ayahnya di Negeri Sembilan selepas 10 tahun tidak ke sana.

“Hari raya pertama saya bersama adik-beradik lain beraya di Kuala Lumpur dahulu. Kemudian baru pulang ke kampung sebelah arwah. Tidak dinafikan perasaan kekok itu ada sebab 10 tahun tak balik.

“Disebabkan arwah kahwin dua, jadi saya dan adik-beradik sendiri selalu ikut mak balik Kedah. Tahun ini ia berubah. Memandangkan saya anak sulung dan selepas ketiadaan arwah, jadi saya perlu beraya bersama adik-beradik lain,” katanya.

Arwah bapanya meninggalkan dua balu dan sembilan anak.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Julai 2015 @ 10:13 AM