Asrol Awang

Kuantan: Kerugian dilapor mangsa kes jenayah komersial di Pahang bagi 1 Januari hingga 31 Julai lalu mencecah RM31.4 juta, meningkat berbanding RM25 juta bagi tempoh sama tahun lalu.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, sepanjang tempoh itu, 6,338 laporan diterima pihaknya dan 1,203 kertas siasatan dibuka.

"Berdasarkan statistik itu, ia amat membimbangkan dan kesedaran berterusan kepada masyarakat akan dipertingkatkan membabitkan semua agensi.

"Masyarakat dinasihat tidak melayan sebarang panggilan telefon yang meminta maklumat perbankan atau terpilih memenangi sebarang peraduan dengan hadiah tertentu.

"Selain itu sebaiknya mengelak atau tidak melayan panggilan daripada agensi kerajaan seperti Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) atau mahkamah yang memaklumkan mempunyai kes tertentu.

"Sebarang pautan yang diberikan individu tidak dikenali tidak sesekali ditekan untuk mengelak menjadi mangsa," ktanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, di sini, hari ini.

RAMLI menerangkan sindiket penipuan yang memperdaya mangsa pada sidang media hari ini.  FOTO Farizul Hafiz Awang.
RAMLI menerangkan sindiket penipuan yang memperdaya mangsa pada sidang media hari ini. FOTO Farizul Hafiz Awang.

Mengulas Op Mule Khas yang membabitkan penahanan pemilik keldai akaun bermula 1 hingga 31 Julai lalu, Ramli berkata, setakat ini 154 individu sudah diberkas membabitkan 107 lelaki dan 47 wanita berumur 21 hingga 64 tahun.

Katanya, mereka terdiri daripada pekerja swasta, peniaga dan penganggur.

"Individu yang memberi, meminjam dan menjual akaun kepada pihak ketiga tidak terlepas daripada tindakan undang-undang apabila dituduh di mahkamah.

"Implikasinya sangat besar kerana boleh menjejaskan masa depan mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Ogos 2022 @ 2:54 PM