WANITA alami sakit perut di Laban Rata diselamatkan. FOTO ihsan JBPM
WANITA alami sakit perut di Laban Rata diselamatkan. FOTO ihsan JBPM
Juwan Riduan


Ranau: Seorang wanita tempatan diselamatkan Pasukan Mencari dan Menyelamat Gunung Kinabalu (MOSAR) selepas mengalami sakit perut di Laban Rata, di sini, hari ini.

Wanita berusia 35 tahun itu dikatakan sukar bergerak dan perlu mendapatkan bantuan untuk turun bagi mendapatkan rawatan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 2.50 pagi.

Menurutnya, susulan laporan itu, sepasukan tujuh anggota JBPM termasuk MOSAR, Malim Gunung dan Taman-Taman Sabah dikerah ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba di lokasi, pasukan MOSAR bersama Taman-Taman Sabah dan Malim Gunung melakukan pemeriksaan dan rawatan awal bagi memastikan mangsa dalam keadaan stabil dan selamat.

"Mangsa seterusnya dibawa turun ke Timpohon Gate dengan menggunakan teknik 'piggy back carry' oleh pasukan penyelamat," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, sebaik berjaya tiba di Timpohon Gate, mangsa diserahkan kepada Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) JBPM sebelum dihantar ke Hospital Ranau untuk rawatan lanjut.

"Operasi ditamatkan pada 7.42 pagi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Februari 2023 @ 11:50 AM