ANGGOTA penyelamat membawa mangsa turun menggunakan teknik usungan. FOTO ihsan bomba
ANGGOTA penyelamat membawa mangsa turun menggunakan teknik usungan. FOTO ihsan bomba
Juwan Riduan


Ranau: Pendaki Gunung Kinabalu diselamatkan Pasukan Mencari dan Menyelamat Gunung Kinabalu (MOSAR) selepas mengalami 'Acute Mountain Sickness' (AMS) ketika berehat di asrama Laban Rata, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 5 petang itu, wanita terbabit dilaporkan sukar bernafas dan perlu dibawa turun segera untuk mendapatkan rawatan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.15 petang.

Katanya, susulan laporan itu, sepasukan 11 anggota dan pegawai MOSAR, malim gunung dan anggota Taman-Taman Sabah (TTS) dikerah ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba di lokasi, pasukan MOSAR terus memberikan rawatan awal dengan cara pemanasan menggunakan 'heater', bagi memastikan mangsa dalam keadaan stabil dan selamat.

"Mangsa kemudiannya dibawa turun ke Timpohon Gate menggunakan teknik usungan (Neil Robertson Strecher) oleh pasukan penyelamat," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, mangsa dihantar ke Hospital Ranau untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Katanya, pasukan operasi kemudiannya menjalankan pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada lagi kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan pada jam 12.06 tengah malam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Oktober 2022 @ 10:54 AM