PENDAKI kanak-kanak diberi rawatan awal sebelum dibawa turun ke Taman Kinabalu. FOTO Ihsan JBPM.
PENDAKI kanak-kanak diberi rawatan awal sebelum dibawa turun ke Taman Kinabalu. FOTO Ihsan JBPM.
Juwan Riduan


Ranau: Kanak-kanak warga British diselamatkan Pasukan Mencari dan Menyelamat Gunung Kinabalu (Mosar) selepas mengalami sesak nafas dan muntah ketika pendakian, semalam. Kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun itu ditempatkan di Bilik Rawatan Awal Substesen Panalaban pada 6 petang.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan untuk penyelamatan itu pada 6.20 petang dan lapan anggota termasuk Mosar, Malim Gunung dan anggota Taman-Taman Sabah (TTS) segera ke lokasi.

"Sebaik tiba, pasukan Mosar terus memberikan rawatan bagi memastikan mangsa stabil dan selamat, sebelum dia dibawa turun ke Timpohon Gate menggunakan kaedah 'piggy back carry'," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, pasukan tiba di kaki gunung pada 10.18 malam dan mangsa diserah kepada Koperasi Serbaguna Kakitangan Taman Sabah Berhad (Koktas) bagi urusan penginapan di Taman Kinabalu.

"Operasi tamat pada 10.48 malam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Ogos 2022 @ 8:51 AM