GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Ahmad Hasbi


Seremban: Seorang wanita sanggup mengeluarkan wang simpanan daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM130,000 untuk diserahkan kepada sindiket Macau Scam selepas diperdaya.

Difahamkan, mangsa yang berusia 56 tahun dihubungi Sarjan Qayyum yang mendakwa namanya dikesan terbabit dengan kegiatan penggubahan wang haram.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, mangsa yang bekerja di bahagian pentadbiran sebuah syarikat swasta mendakwa pada mulanya dihubungi individu dari sebuah syarikat insurans.

"Individu terbabit memaklumkan mangsa ada membuat tuntutan insurans namun dia menafikannya.

"Mangsa kemudian disambungkan kepada individu yang memperkenalkan diri sebagai Sarjan Qayyum kononnya dari Ibu Pejabat Daerah (IPD) Ampang untuk membuat laporan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ahmad Dzaffir berkata, suspek memaklumkan kononnya mangsa terbabit dengan kesalahan penggubahan wang haram dan diarahkan supaya tidak memberitahu kepada sesiapa mengenai dakwaan itu.

"Mangsa kemudiannya disambungkan kepada pendakwa raya yang mengarahkannya membuat kad bank baru jika mahu menyelesaikan kes.

"Mangsa ke sebuah bank di Seremban 2, di sini, pada 25 Januari lalu untuk membuat kad bank baru dan mengikut setiap arahan pendakwa raya berkenaan termasuk mengubah nombor telefon rujukan akaun baru kepada 014-690 8266.

"Mangsa juga mengeluarkan duit KWSP sebanyak RM130,000 dan memindahkannya ke akaun bank baru itu," katanya.

Beliau berkata, semalam, mangsa mendapat tahu kesemua wang dalam akaunnya berkurangan sebanyak RM141,000 dengan beberapa transaksi.

"Mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Labu, Nilai, semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Februari 2023 @ 10:55 AM