Noorazura Abdul Rahman


PENOLONG pengurus sebuah kilang besi di Kulim kerugian RM130,000 selepas diperdaya ‘Sarjan Chew’ menerusi sindiket penipuan melalui panggilan telefon (Macau Scam).

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kedah, Superintendan Annuar Amri Abd Muluf berkata, mangsa wanita berusia 40 tahun sudah membuat laporan polis semalam selepas menyedari ditipu.

Katanya, mangsa sebelum itu menerima panggilan telefon daripada lelaki yang menyatakan mangsa akan ditangkap selepas terbabit dalam kes penggubahan wang haram.

“Suspek memperkenalkan diri sebagai polis menggunakan nama ‘Sarjan Chew’, selepas memberitahu mangsa akan ditangkap, suspek menawarkan diri membantu menyelesaikan kes itu.

“Namun mangsa perlu senaraikan akaun bank yang dimiliki dan memindahkan semua wang miliknya ke akaun bank yang diberikan.

“Mangsa juga diugut suspek supaya tidak memberitahu perkara itu kepada pihak lain jika tidak mahu ditangkap,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Annuar Amri berkata, mangsa yang panik dan percaya dengan kata-kata suspek hanya mengikut arahan dan bermula dari 7 hingga 10 Ogos lalu, mangsa membuat lima kali transaksi memindahkan wang ke dua akaun diberikan suspek.

Katanya, transaksi lima kali itu masing-masing RM50,670, RM64,800, RM3,520, RM3,700 dan RM6,600.

“Selepas semua wang simpanan mangsa dipindahkan, suspek berjanji wang mangsa akan dipulangkan semula dalam tempoh tiga hari siasatan dijalankan tetapi selepas tempoh itu suspek gagal dihubungi.

“Mangsa yang berasa ditipu membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD ) Kulim semalam,” katanya.

Sementara itu, Annuar Amri, berkata, 113 kertas siasatan membabitkan modus operandi sama sudah dibuka polis Kedah dengan nilai kerugian RM2.9 juta sejak Januari hingga Julai lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Ogos 2019 @ 6:20 PM