Gambar hiasan
Gambar hiasan
Ahmad Hasbi

Seremban: Pesara kerajaan berputih mata apabila wang simpanan dalam dua akaun banknya yang berjumlah RM120,500 lesap, bulan lalu.

Ia susulan panggilan telefon diterimanya yang mendakwa nama dikaitkan dengan kegiatan penggubahan wang haram dan meminta maklumat peribadi serta perbankan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri Sembilan Superintendan Aibee Abd Ghani berkata, wanita berusia 71 tahun itu dihubungi sindiket Macau Scam buat kali pertama pada 3 Oktober lalu yang menyamar sebagai ejen insurans.

"Ketika berada di rumah di Lenggeng, Nilai, mangsa menerima panggilan daripada ejen insurans yang menyatakan dia ada membuat tuntutan polisi insurans, namun wanita ini menafikan perkara berkenaan sebelum disambung ke Balai Polis Puda serta bercakap dengan Sarjan Adam Musftafa dan Inspektor Mastura.

"Mangsa kemudian didakwa terbabit dengan penggubahan wang haram dan disambungkan lagi dengan pegawai atasan bernama Puan Wong.

"Suspek meminta mangsa memberikan maklumat akaun bank," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, mangsa menurut arahan suspek dengan memindahkan wang daripada akaun Cimb Bank dan akaun Bank Rakyat ke akaun Bank Islam miliknya sendiri.

"Bagaimanapun, baru-baru ini mangsa membuat semakan akaun Bank Islam dan Tabung Haji mendapati terdapat pengeluaran berjumlah RM120,500 dengan transaksi pertama pada 8 Oktober berjumlah RM50,000.

"Transaksi kedua pada 9 Oktober berjumlah RM50,000 dan kali ketiga pada 10 Oktober berjumlah RM20,500. Semua transaksi dilakukan melalui atas talian," katanya.

Aibee berkata, mangsa mengesyaki sudah diperdaya sindiket dan membuat laporan polis semalam untuk siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 November 2021 @ 11:18 AM