ANGGOTA bomba mempersiapkan peti LiSA di Pantai Teluk Nipah dan Pantai Pasir Bogak sebagai persediaan fenomena air pasang surut unik di Pulau Pangkor. FOTO Ihsan BBP Pulau Pangkor
ANGGOTA bomba mempersiapkan peti LiSA di Pantai Teluk Nipah dan Pantai Pasir Bogak sebagai persediaan fenomena air pasang surut unik di Pulau Pangkor. FOTO Ihsan BBP Pulau Pangkor
Muhamad Lokman Khairi

Lumut: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak akan melakukan pengawasan ketika fenomena air surut di Pantai Teluk Nipah yang membolehkan orang ramai berjalan sejauh 400 meter ke Pulau Giam.

Fenomena setiap tahun yang menggamit pelancong itu dijangka berlaku pada 21 hingga 25 Januari ini dan 19 hingga 22 Februari depan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pulau Pangkor, Penolong Penguasa Bomba Muhammad Shukur Jamaludin, berkata pihaknya sudah meneliti situasi air pasang surut di pulau pelancongan itu.

"Anggota bomba akan melakukan pengawasan di air menggunakan bot bomba, serta pengawasan di darat pada waktu kemuncak mengikut jadual air pasang surut.

"Meskipun fenomena ini menjadi tumpuan, namun ia berisiko kerana air pasang berlaku pantas. Jadi sebagai langkah awal, anggota bomba ditempatkan di lokasi untuk sebarang kemungkinan," kata Muhammad Shukur ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, pihak bomba turut mempersiapkan peti bantuan kecemasan atau Life Saving Appliances (LiSA) di Pantai Teluk Nipah dan Pantai Pasir Bogak bagi memudahkan penyelamatan dilakukan sekiranya berlaku kejadian lemas.

"Orang awam boleh menggunakan peralatan di dalam peti berkenaan untuk penyelamatan awal sebelum ketibaan pasukan bomba.

"Pihak bomba juga mengedarkan risalah berkaitan keselamatan di air pada orang ramai di dua pantai ini yang menjadi lokasi tumpuan berkelah dan mandi-manda," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 January 2023 @ 11:17 AM