PASUKAN operasi mencari dan menyelamat (SAR) mengangkat mayat mangsa yang ditemui lemas ketika melakukan aktiviti laut di Pulau Giam, Pulau Pangkor. FOTO Ihsan FB APM Manjung
PASUKAN operasi mencari dan menyelamat (SAR) mengangkat mayat mangsa yang ditemui lemas ketika melakukan aktiviti laut di Pulau Giam, Pulau Pangkor. FOTO Ihsan FB APM Manjung
Noor Hidayah Tanzizi


REMAJA lelaki yang hilang selepas dihanyutkan arus ketika melakukan aktiviti laut di Pulau Giam berhampiran pantai Teluk Nipah, Pulau Pangkor, semalam ditemui lemas, hari ini.

Mayat mangsa, Muhammad Nazrul Helmi Nazri,17, ditemui pada 12.14 tengah hari kira-kira 150 meter dari lokasi dia dilaporkan hilang di Pulau Giam.

Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pangkor berkata, mangsa ditemui budak pantai yang turut membantu operasi sebelum memaklumkannya kepada bomba.

Menurutnya, ketika ditemui paras air laut sedalam kira-kira dua meter.

“Anggota bomba kemudian membawa mayat mangsa ke darat dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Seri Manjung (HSM) untuk tindakan lanjut.

Portal berita Harian Metro semalam melaporkan mangsa dikhuatiri lemas ketika melakukan aktiviti laut bersama dua rakannya di Pulau Giam sewaktu air surut.

Bagaimanapun, ketika dalam perjalanan pulang ke Teluk Nipah, berlaku air pasang menyebabkan mereka dihanyutkan arus sebelum dua rakannya diselamatkan bot pelancong, manakala mangsa lagi hilang.

BBP Pangkor menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 3.49 petang, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Februari 2020 @ 4:18 PM