ANGGOTA bomba menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa yang dikhuatiri lemas ketika melakukan aktiviti laut di Pulau Giam berhampiran pantai Teluk Nipah, Pulau Pangkor. FOTO IHSAN JBPM
ANGGOTA bomba menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa yang dikhuatiri lemas ketika melakukan aktiviti laut di Pulau Giam berhampiran pantai Teluk Nipah, Pulau Pangkor. FOTO IHSAN JBPM
Noor Hidayah Tanzizi


REMAJA lelaki dikhuatiri lemas ketika melakukan aktiviti laut di Pulau Giam berhampiran pantai Teluk Nipah, Pulau Pangkor, hari ini.

Mangsa, Muhammad Nazrul Helmi Nazri, 17, dikatakan menyeberang ke Pulau Giam dari pantai Teluk Nipah bersama dua rakannya ketika air surut.

Bagaimanapun, ketika dalam perjalanan pulang ke Teluk Nipah berlaku air pasang menyebabkan ketiga-tiga mereka hanyut dibawa arus.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pangkor menerima panggilan berhubung kejadian pada 3.49 petang.

Menurutnya, pihaknya dimaklumkan mangsa bersama dua rakannya dihanyutkan air pasang ketika dalam perjalanan pulang ke Teluk Nipah selepas melakukan aktiviti menyeberang ke Pulau Giam.

“Bagaimanapun, dua daripada mangsa sempat diselamatkan bot pelancong yang berada di lokasi, manakala seorang lagi hilang.

“Ketika ini, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa dijalankan Pasukan Penyelamatan Di Air (PPDA) di permukaan,” katanya.

Berita lanjut menyusul

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Februari 2020 @ 7:30 PM