Noor Hidayah Tanzizi


Lumut: "Ia sangat mengujakan dan pengalaman ini unik kerana saya dapat menyeberang ke pulau dengan berjalan kaki," kata pelancong dari Pulau Pinang, Ahmad Hafizuddin Abdullah yang tidak melepaskan peluang menyeberang ke Pulau Giam dari Pantai Teluk Nipah, di Pulau Pangkor.

Fenomena air surut itu boleh digambarkan seperti laut terbelah hingga menampakkan beting pasir dan ia hanya berlaku pada Februari dan musim perayaan Tahun Baharu Cina, sekali gus menjadi tumpuan ramai dari dalam dan luar pulau itu.

Ahmad Hafizuddin, 25, berkata, dia bersama lima rakan bercuti ke Pulau Pangkor untuk merasai pengalaman menyeberangi laut selepas ia tular di media sosial.

"Kami mula berjalan kaki pada jam 10.30 pagi (semalam) dan mengambil masa 10 hingga 15 minit untuk sampai ke pulau berkenaan dan dalam perjalanan dapat melihat banyak gamat dengan lebih dekat.

ORANG ramai mengambil peluang menyeberang ke Pulau Giam dari Pantai Teluk Nipah di Pulau Pangkor dengan berjalan kaki pada tinjauan fenomena air surut. FOTO Shahrul Hafiz Zam
ORANG ramai mengambil peluang menyeberang ke Pulau Giam dari Pantai Teluk Nipah di Pulau Pangkor dengan berjalan kaki pada tinjauan fenomena air surut. FOTO Shahrul Hafiz Zam

"Saya teruja berpeluang merasai pengalaman seperti ini dan sentiasa berhati-hati cuma agak terleka sedikit apabila bergambar di pulau tak sangka air sudah mula pasang ketika mahu balik," katanya ketika ditemui ketika fenomena air surut di pantai berkenaan, semalam.

Hampir 500 pengunjung dan penduduk setempat mengambil peluang menyeberang ke Pulau Giam dan bersantai di tepi pantai melihat fenomena air surut bermula 9.30 pagi hingga 11.15 pagi semalam itu.

Ahamd Hafizuddin berkata, mereka bernasib baik apabila ada bot membawanya bersama rakan ke darat kerana ketika mahu pulang, air sudah mulai pasang.

"Ini menjadi pengajaran kepada kami dan orang ramai dinasihatkan supaya beringat (dan peka dengan waktu pulang mengikut jadual surut air).

"Saya berasa lebih selamat apabila aktiviti ini sentiasa dipantau beberapa agensi penyelamat dan usaha seperti ini bagus," katanya.

Rakannya, Nadia Asi, 24, berkata, ini kali pertama dia bercuti ke Pulau Pangkor dan ia memberikan pengalaman menyeronokkan kepadanya.

Bagaimanapun katanya, ia juga mengajarnya supaya sentiasa mendapatkan maklumat lebih sahih berkaitan aktiviti itu berbanding hanya mendengar dari mulut orang lain semata-mata.

"Pada mulanya, kami mahu berjalan pulang saja kerana semua pandai berenang tetapi selepas mendapat nasihat bomba kami pulang dengan bot kerana ia berisiko.

"Tapi pengalaman ini memang mengujakan dan saya tak sangka boleh berjalan kaki saja dari laut untuk ke pulau. Jadi kita memang perlu mendapat maklumat tepat mengenai air surut supaya dapat merancang aktiviti dengan baik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Februari 2022 @ 11:49 AM