TIONG ketika hadir pada Sambutan Pencahayaan Tahun Baru Cina 2023 di Petaling Street. FOTO Owee Ah Chun.
TIONG ketika hadir pada Sambutan Pencahayaan Tahun Baru Cina 2023 di Petaling Street. FOTO Owee Ah Chun.
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) meminta rakyat terus menjaga prosedur operasi standard (SOP) dalam mengawal penularan Covid-19 ketika negara menerima semakin ramai kedatangan pelancong asing dari seluruh dunia.

Ia termasuk pelancong dari China yang sudah mula kembali melancong ke Malaysia sejak 8 Januari lalu susulan republik itu membuka semula sempadan antarabangsanya pada tarikh sama.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing, berkata kemasukan semula pelancong ke negara ini sekali gus dapat merancakkan semula ekonomi negara yang sebelum ini lembab akibat pandemik Covid-19.

"Kita ucapkan selamat datang kepada mereka (pelancong asing) semua. Terutama sekali ucap terima kasih kepada negara China apabila membuka sempadannya semula.

"Ramai lagi pelancong akan masuk dan memang ini boleh membantu meningkatkan ekonomi di negara kita. Bagaimanapun kita nak minta semua rakyat tetap menjaga SOP juga.

"Walaupun kita buka sempadan untuk semua orang, namun untuk kesihatan diri sendiri adalah perkara yang mustahak. Ada mempersoalkan patutnya tidak boleh buka (kemasukan pelancong) dari negara China datang. Saya nak memohon kepada semua rakyat supaya kita jangan 'over react' (reaksi berlebihan).

"Kerajaan sentiasa prihatin mengawal keselamatan dan kesihatan semua," katanya selepas menghadiri Sambutan Pencahayaan Tahun Baru Cina 2023 di antara lokasi tumpuan pelancong di ibu negara di Petaling Street, di sini, hari ini.

Tiong berkata, tidak adil sekiranya kerajaan melaksanakan kawalan khas hanya terhadap pelancong dari negara China.

"Sehingga hari ini belum ada lagi kes Covid-19 membabitkan pelancong asing termasuk dari China. Apa pun, kita sentiasa berharap untuk kesejahteraan Malaysia," katanya.

Terdahulu, media hari ini melaporkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak mengesan sebarang kes positif Covid-19 dalam kalangan lebih 7,000 pelancong China yang tiba di negara ini sejak Ahad lalu.

Menterinya, Dr Zaliha Mustafa dilaporkan berkata, pihaknya sentiasa mengambil langkah memastikan setiap pelancong yang tiba di negara ini melalui proses saringan Covid-19 bagi mengesan mereka yang bergejala.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 January 2023 @ 9:56 PM