Noor Hidayah Tanzizi


Ampang: Kemasukan pelancong dari China ke negara ini disarankan untuk dilaksanakan melalui agensi pelancongan berdaftar di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac).

Presiden Persatuan Pelancongan Dalam Malaysia (MITA), Uzaidi Udanis berkata, ia bagi memastikan warga negara itu bebas wabak sebelum ke negara ini susulan kes Covid-19 di negara itu dilaporkan meningkat ketika ini.

Menurutnya, ia sekali gus memudahkan pihak berkenaan memantau jika ada pelancong negara itu berada di negara ini melebihi tempoh masa ditetapkan seperti dakwaan ada pelancong China tidak pulang ke negara asal.

"Setakat ini kita mempunyai 60,000 agensi pelancongan di seluruh negara yang berdaftar di bawah Motac.

"Justeru, kita sarankan semua pelawat (terutama dari China) datang negara ini melalui agensi berdaftar bagi menjaga keselamatan (kesihatan) sekali gus memastikan mereka pulang ke negara asal dalam masa tertentu.

"Langkah ini dipratikkan pada gelembung pelancongan (Travel Bubble) Langkawi sebelum ini dan ia dilihat berhasil," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Pada majlis berkenaan turut dilancarkan Fish Tales 2023 Cup - The Global Pro Challenge yang akan berlangsung di Rompin, Pahang pada 18 hingga 23 Ogos tahun hadapan.

Turut hadir, Pengarah Bahagian Pembangunan Pakej Tourism Malaysia, Shahrin Mokhtar dan Pengarah Othree Management Sdn Bhd, Kenneth Chen.

Mengulas lanjut, Uzaidi berkata, pihaknya juga percaya kerajaan melalui kementerian berkaitan seperti Kementerian Kesihatan (KKM) akan mengemas kini prosedur operasi standard (SOP) dalam menerima kunjungan pelancong terutama dari China.

Katanya, secara konservatif pihaknya menjangkakan negara akan menerima 300,00 kunjungan pelancong dari negara itu bermula tahun hadapan.

"Dalam keterujaan menerima kehadiran pelancong China yang menjadi antara penyumbang ekonomi pelancongan, kita sebagai pemain industri sentiasa akur dan akan terus mematuhi SOP sedia ada yang ditetapkan kerajaan.

"Kita juga perlu bersama menjaga SOP di lokasi, jangan mengharapkan polis dan kerajaan saja memantau perkara ini.

"Pelancong juga kena ada vaksin lengkap selain menunjukkan keputusan ujian Covid-19 sebelum masuk ke negara kita seperti dikuatkuasakan Amerika Syarikat. Ini satu langkah yang bagus dalam usaha mengekang penularan wabak ini dan kita juga perlu mendapatkan nasihat daripada pakar terutama KKM," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Disember 2022 @ 3:36 PM