PESAKIT Covid-19 terlantar di katil Hospital Tangshan Gongren, China sambil ditemani ahli keluarga masing-masing. FOTO AFP
PESAKIT Covid-19 terlantar di katil Hospital Tangshan Gongren, China sambil ditemani ahli keluarga masing-masing. FOTO AFP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Kerajaan tidak perlu terburu-buru untuk menerima kedatangan pengembara dari China terutamanya pelancong sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan penularan Covid-19 secara besar-besaran.

Pakar Perubatan Kesihatan Masyarakat dan Ekonomi Kesihatan Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Dr Sharifa Ezat Wan Puteh berkata kerajaan perlu terlebih dahulu melihat kepada perkembangan semasa berkaitan jangkitan wabak itu bagi mengelakkan kemasukkan varian yang belum pernah ditemukan dan seterusnya memudaratkan negara.

"Kemungkinan untuk varian baharu masuk dalam negara adalah tinggi, tambahan lagi kita menghampiri musim perayaan (Tahun Baharu Cina) jadi susah untuk kita kawal pergerakan.

"Jadi, kerisauannya adalah jika mereka bawa kes-kes itu ke Malaysia bersama-sama dengan varian baharu yang kita tak kenal pasti lagi," katanya kepada Bernama.

China dilapor akan membuka semula sempadannya pada 8 Jan 2023 selepas hampir tiga tahun ditutup berikutan pandemik Covid-19 namun timbul kebimbangan apabila berlaku lonjakan ketara kes Covid-19 di negara itu, baru-baru ini.

Penasihat Pertubuhan Kesihatan Awam Malaysia Datuk Dr Zainal Ariffin Omar pula berpendapat belum timbul keperluan mengadakan sekatan kepada pelancong dari negara tembok besar itu namun pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bersama-sama syarikat penerbangan perlu mengadakan pengawasan yang ketat.

"Pertimbangkan langkah ketat kemasukan pengembara dari China dan jangan leka, bagi yang ingin masuk (ke Malaysia) perlu lengkap vaksinasi dan lakukan ujian Covid-19 seeloknya ujian PCR," katanya.

Dr Zainal turut menyarankan agar kerajaan meningkatkan kadar penerimaan dos penggalak bagi vaksinasi Covid-19 dalam kalangan rakyat Malaysia sebagai langkah berjaga-jaga mengekang penularan wabak itu.

Menurutnya kadar liputan bagi dos penggalak pertama dan kedua yang masih rendah dalam negara mampu mendatangkan risiko, iaitu mengambil kira kemungkinan tahap imunisasi masyarakat yang semakin menurun.

Berdasarkan data laman web KKMNOW setakat 12 tengah hari kelmarin sejumlah 16,278,669 atau 49.8 peratus daripada populasi negara ini telah mengambil dos penggalak pertama manakala cuma 629,215 atau 1.9 peratus dari populasi sama memilih mendapatkan dos penggalak kedua.

Dalam masa sama, Presiden Persatuan Hotel Bajet dan Bisnes Malaysia (MyBHA) Dr Sri Ganesh Micheil berkata negara tidak seharusnya melarang pergerakan mana-mana pengembara terutamanya pelancong dari luar negara.

Katanya kerajaan melalui agensi di bawah KKM serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya perlu mengambil tindakan bersiap siaga dalam memastikan industri perhotelan dan pelancongan selamat serta terjamin.

Jurucakap Malaysia Airlines ketika dihubungi menyatakan komitmen syarikat penerbangan itu untuk kekal patuh pada syarat yang telah ditetapkan oleh kerajaan dan penguat kuasa dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan serta kesejahteraan penumpang terpelihara.

Sementara itu, pakar Kesihatan Awam Universiti Malaya Prof Dr Moy Foong Ming berkata orang ramai perlu mematuhi langkah pencegahan sedia ada seperti memakai pelitup muka terutamanya di kawasan yang sesak dan pengudaraan kurang baik, memastikan status vaksinasi sentiasa dikemas kini dan mengekalkan gaya hidup sihat supaya mempunyai imuniti tubuh yang baik.

"Orang ramai juga boleh mengamalkan TRIIS (ujian, lapor, asing, maklum, cari) jika ada simptom seperti selesema," katanya.

Pantau rapi

Wujud kemungkinan gelombang besar Covid-19 bakal melanda jika kerajaan serta agensi kesihatan tidak melaksanakan pemantauan rapi berhubung penularan virus berkenaan pada waktu ini.

Kebimbangan itu disuarakan oleh Pakar Kesihatan Perubatan Awam, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berhubung peningkatan mendadak kes jangkitan Covid-19 di China. Ini termasuk kejadian terkini membabitkan ramai pelancong dari China yang dijangkiti virus berkenaan khususnya kejadian terbaharu di Itali.

Untuk rekod, penularan kes baharu Covid-19 berkenaan di negara republik itu melonjak lebih 60,000 dalam seminggu.

Zainal Ariffin berkata, besar kemungkinan bahawa gelombang berkenaan akan berlaku jika tiada langkah pemantauan dilaksanakan.

"Kita melihat sendiri lonjakan kes yang berlaku di China dan negara kita pula adalah antara lokasi tumpuan untuk pelancong daripada republik berkenaan.

"Sebagai inisiatif awal, wajar kerajaan untuk melaksanakan pemantauan atau saringan yang lebih teliti khususnya kepada pengunjung daripada negara berisiko tinggi termasuk China.

"Hal ini perlu untuk mengelakkan negara kita berdepan dengan gelombang baharu Covid-19 yang memungkinkan penutupan sempadan atau batasan pergerakan jika penularan itu kritikal," katanya, semalam.

Beliau berkata, langkah paling wajar dilaksanakan adalah saringan di pintu masuk utama ke negara ini khususnya di lapangan terbang.

Menurutnya, ia membolehkan petugas kesihatan mengesan sebarang jangkitan virus berkenaan dan mengelakkannya daripada menular dengan lebih serius.

"Bagaimanapun, jika tiada kemunculan varian baharu yang bahaya, gelombang Covid-19 baharu itu mungkin tidak akan berlaku kerana hampir semua rakyat negara kita sudah menerima suntikan vaksin serta dos penggalak.

"Agensi kesihatan kita juga turut dibekalkan dengan ubat-ubatan untuk melawan virus berkenaan dan mungkin jika gelombang itu berlaku, ia akan memakan masa yang lama.

"Kita mengharapkan bahawa tiada kemunculan varian baharu yang bersifat aktif serta bahaya, varian sedia ada ini mampu ditangani dengan vaksin serta pemberian ubat-ubatan sedia ada," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 January 2023 @ 12:00 PM