Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Berat ujian Nur Shubhah Jamel yang bukan hanya hilang keupayaan berjalan kerana berstatus orang kurang upaya (OKU) fizikal malah turut menderita akibat lima penyakit kronik.

Bermula dengan menghidap diabetes tahap dua ketika berusia 15 tahun, Nur Shubhah, 33, dia yang mesra dipanggil Astrella, disahkan pula mengalami masalah buah pinggang kronik tahap lima atau kegagalan buah pinggang tahap akhir (ESRF), kerosakan paru-paru akibat Covid-19, ascites atau hati bengkak dan injap jantung belah kanan bocor.

Berikutan penyakit dihidapi, Astrella yang dulunya ceria dan bebas ke sana sini kini hanya dapat bergerak dengan bantuan kerusi roda sejak sedar daripada koma pada 2019.

Masalah paru-paru juga memaksanya bernafas dengan bantuan alat oksigen mudah alih dan dibawa bersama jika berjalan jauh.

Berkongsi kisahnya, Astrella berkata, ketika sihat, dia pernah menjadi pemain pemain Player Unknown's Battleground (PUBG) dan menyertai kejohanan selain menjadi pembantu peribadi kepada pelakon Zulin Aziz juga pengacara, Sherry Alhadad.

Kini, tiada apa boleh dilakukannya melainkan berehat di rumah dan berinteraksi dengan pengikutnya di TikTok menerusi sesi siaran langsung.

"Saya disahkan ada diabetes waktu Tingkatan Tiga namun dulu keadaan diri masih normal, boleh memandu serta keluar melepak malah kalau tengok video lama saya di TikTok memang lain. Dulu lebih cerah, lebih ayu tapi sekarang sudah berubah.

"Sepuluh tahun kemudian, buah pinggang saya bengkak dan sudah cuba makan ubat tetapi tak jalan hingga doktor kata perlu dialisis. Enam tahun juga saya jalani rawatan dialisis dan tiga tahun lalu, saya disahkan Covid-19 tahap lima sebelum dimasukkan ke wad selama 50 hari dengan ditidurkan selama seminggu.

"Disebabkan itu, saya perlukan bantuan oksigen seumur hidup kerana tak boleh bernafas macam biasa seperti orang lain," katanya ketika ditemui Harian Metro di rumahnya dekat Taman Setia Gombak, di sini.

ASTRELLA dibantu  jururawat peribadi untuk menguruskan diri. FOTO Saifulizan Tamadi
ASTRELLA dibantu jururawat peribadi untuk menguruskan diri. FOTO Saifulizan Tamadi

Menurut Astrella, ketika disahkan menghidap diabetes, dia reda kerana tahu penyakit itu berkait rapat dengan faktor genetik namun hampir putus asa sewaktu disahkan ada penyakit buah pinggang pada 2017.

"Lebih membuatkan saya putus asa apabila kena Covid-19 hingga mengalami serangan anxiety (kebimbangan melampau), kemurungan dan setiap hari menangis hingga kunci pintu serta baling barang. Doktor cuba selamatkan saya tetapi ada kalanya ubat tak kena hingga alami kesan alahan seperti gatal, muntah dan pendarahan hidung.

"Tapak kaki kanan saya pula ada luka tetapi Alhamdulillah, hampir sembuh cuma dibalut kerana tak nak ada jangkitan. Kebanyakan masa saya memang duduk di atas kerusi kerana tak boleh baring terlalu lama," katanya yang pernah cuba menjual pakaian terpakai tahun lalu sebelum berhenti kerana masalah kesihatan.

Astrella berkata, bukan mudah untuk mengharungi ujian itu namun keluarga adalah tulang belakang yang banyak memberi sokongan dan kekuatan.

Selain itu, Astrella bersyukur kerana ramai juga pengikut dan netizen beri kata semangat serta mendoakannya sejak videonya dengan pempengaruh, Acap tular di TikTok.

"Saya memang peminat Acap dan mengikuti perkembangannya daripada dulu sampai sekarang cuma tak sangka kisah saya tular selepas bersiaran langsung dengannya.

"Orang kata saya gunakan Acap untuk terkenal dan ada juga segelintir netizen lempar tuduhan mengatakan saya tak usaha, mengharapkan simpati serta bermacam lagi.

"Cuma saya tak layan kerana ramai juga yang beri komen positif dan mendoakan saya kuat menempuh ujian. Terima kasih saya ucapkan dan mendoakan semoga mereka semua juga dipermudahkan dunia akhirat," katanya.

Ditanya perihal jodoh, Astrella enggan terlalu memikirkannya kerana yakin dengan segala ketentuan Ilahi.

"Bab jodoh, tiada di sini (dunia) pun saya okay saja kerana Allah dah susun perjalanan saya," katanya.

Orang ramai yang berhasrat meringankan beban Astrella boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank bernombor 164799092407 atas nama Nur Shubhah Jamel.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Disember 2023 @ 7:44 PM
ASTRELLA hilang keupayaan berjalan, turut menderita akibat lima penyakit kronik. FOTO  Saifulizan Tamadi
ASTRELLA hilang keupayaan berjalan, turut menderita akibat lima penyakit kronik. FOTO Saifulizan Tamadi