Redzuan Muharam

Sungai Petani: "Buat masa ini, biarlah saya membujang kerana tidak tahu ada atau tidak pasangan sanggup terima dan bantu menjaga abang jika berkahwin nanti," kata Redzoashrofi Isa.

Redzoashrofi, 27, kini tinggal berdua bersama abang sulungnya, Mohamad Fariz Isa, 32, yang disahkan sindrom Down sejak lahir di Taman Ria Jaya, di sini, manakala dua adik-beradik lain duduk berasingan.

Perunding takaful itu menggalas tanggungjawab menjaga Mohamad Fariz selepas pemergian ibu, Eshah Lebai Awang dan bapanya, Isa Hassan.

"Ayah meninggal dunia pada 2006 kerana menjadi mangsa langgar lari diikuti emak empat tahun lalu berikutan penyakit tiga serangkai iaitu diabetes, darah tinggi dan masalah jantung.

"Sebelum meninggal dunia, emak sempat berpesan kepada saya untuk menjaga abang dan itu yang saya cuba lakukan.

"Mujurlah waktu kerja fleksibel, jadi lebih mudah untuk menjaga abang malah ada masanya saya bawa abang bersama ketika berjumpa pelanggan," katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurut Redzoashrofi, dia dan Mohamad Fariz rapat malah abangnya itu sangat manja dengannya.

Ikatan kuat itu yang menyebabkan mereka berdua tidak boleh berjauhan antara satu sama lain.

REDZOASHROFI (kanan) rela membujang demi menjaga abang sulungnya, Mohamad Fariz.
REDZOASHROFI (kanan) rela membujang demi menjaga abang sulungnya, Mohamad Fariz.

"Jika ada tugasan luar negeri sekalipun, saya akan bawa abang bersama kerana tidak sanggup tinggalkannya.

"Rindu rasanya jika tidak dapat lihat wajahnya walaupun sehari, namun saya pernah berpisah dengan abang ketika ditahan di wad selama dua minggu akibat dijangkiti Covid-19.

"Selepas sembuh, saya dimasukkan lagi ke hospital dua minggu kerana demam panas hingga sawan dan terpaksa minta bantuan orang lain untuk menjaga abang.

"Sepanjang di wad, abang asyik menghubungi saya menerusi panggilan video kerana rindu dan tidak boleh saya tiada bersamanya," katanya yang juga anak ketiga daripada empat beradik.

Bercerita soal jodoh, Redzoashrofi mengakui dia ada keinginan untuk berumah tangga malah pernah ada teman wanita sebelum ini.

Bagaimanapun, hubungan percintaannya kecundang di pertengahan jalan.

"Saya sudah dua kali putus cinta atas sebab yang sama, jadi tidak mahu terlalu berharap lagi.

"Mungkin jika abang tiada nanti, baru saya akan fikirkan soal jodoh kerana bukan mudah untuk jaga abang kerana dia tidak pandai uruskan diri, jadi ada kalanya kencing dan buang najis bersepah.

"Kalau boleh saya tidak mahu bebankan isteri dengan semua itu, jadi biar saya yang hadap semuanya.

"Cuma saya sentiasa berdoa semoga diberi kesihatan yang baik kerana jika sakit, siapa yang akan menjaganya?" katanya yang aktif berkongsi kisahnya dan Mohamad Fariz di TikTok.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 April 2022 @ 12:30 PM