KEADAAN kereta berkenaan. FOTO Ihsan Bomba
KEADAAN kereta berkenaan. FOTO Ihsan Bomba
Mohamad Fahd Rahmat


Kluang: Gadis berusia 21 tahun maut selepas kereta dipandunya terbabit dengan kemalangan dengan sebuah lori berhampiran Tenaga Nasional Berhad (TNB) Renggam, Simpang Renggam, di sini.

Komander Operasi Muhammad Nizar Ma'mun dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Renggam berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berkenaan kejadian pada jam 7.33 malam.

"Susulan itu seramai 10 anggota dibantu sebuah jentera Light Fire Rescue Tender (LFRT) dikejarkan ke tempat kejadian.

"Kemalangan membabitkan Hyundai Atos dipandu gadis berkenaan, Tasnim Nazatul Amiera Mohd Nasrun, 21, dengan sebuah lori Hino lima tan," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, kemalangan berkenaan menyebabkan gadis berkenaan tersepit di tempat duduk pemandu.

Katanya, bomba berjaya mengeluarkan mangsa yang tersepit dengan menggunakan peralatan khas.

"Mangsa yang cedera berjaya dikeluarkan dalam keadaan tidak sedarkan diri.

"Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan sebelum diserahkan kepada polis," katanya.

Katanya, pemandu lori berkenaan itu, Mohd Suhaimi Samsudin, 42, tidak mengalami sebarang kecederaan dan operasi ditamatkan pada 9.42 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 January 2023 @ 8:15 AM