SATU daripada lori yang kemalangan. FOTO Arifin Salleh
SATU daripada lori yang kemalangan. FOTO Arifin Salleh
Oleh Arifin Salleh

Kluang: Seorang pemandu maut manakala seorang lagi parah dalam kemalangan babitkan lima lori di KM63.9, Lebuh raya PLUS arah selatan di Simpang Renggam, Kluang 12 tengah malam tadi.

Difahamkan, kejadian berpunca daripada treler hilang kawalan lalu terbalik dan melintang di tengah jalan sebelum dirempuh empat kenderaan berat lain dari arah sama.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Simpang Renggam, Penolong Penguasa Bomba, Mohd Shaiful Md Isa berkata, pihaknya menerima panggilan pada 12.16 tengah malam.

Seramai tujuh pegawai dan anggota bomba bersama sebuah jentera bergerak ke lokasi kejadian mendapati dua pemandu tersepit dalam dua buah kenderaan berat yang berlainan.

Bomba mengambil masa lebih sejam untuk mengeluarkan kedua-dua mangsa yang tersepit seorang darinya mati ditempat kejadian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kluang, Deputi Superintendan Mohd Noor Mohamad ketika dihubungi mengesahkan seorang mangsa mati ditempat kejadian manakala seorang lagi parah.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Enche Besar Hajjah Kalsom Kluang untuk bedah siasat dan kes berkenaan diaiasat dibawah seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mei 2015 @ 11:04 AM