KEADAAN kereta mangsa kemalangan di Jalan Besar Simpang Renggam - Machap, Kluang Johor. FOTO IHSAN BOMBA
KEADAAN kereta mangsa kemalangan di Jalan Besar Simpang Renggam - Machap, Kluang Johor. FOTO IHSAN BOMBA
Mohamad Fahd Rahmat


Kluang: Pemandu dan penumpang Proton Satria maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Besar Simpang Renggam - Machap kira-kira 8 malam tadi.

Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan Il Affendi Mustafar berkata, mangsa yang maut dikenali sebagai Mohamad Afiq Karim, 25, selain penumpangnya seorang lelaki dewasa yang belum diperoleh maklumat.

"Kedua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan.

"Pasukan Keluaran Operasi (PKO) bertindak mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan khas.

"Mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," katanya ketika dihubungi.

Katanya, pemandu lori dikenali sebagai Muhammad Hishamuddin Hussin, 23 tahun pula cedera manakala empat penumpangnya pula selamat.

"Turut tercedera, pemandu Perodua Kembara dikenali sebagai Mohd Talib Ramli, 56.

"Mangsa yang cedera diserahkan kepada pihak ambulans KKM untuk dihantar ke Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom," katanya yang turut memaklumkan operasi tamat pada jam 9.08 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Jun 2022 @ 12:38 AM